BAITULMUQADDIS: Seorang pegawai tentera Israel maut dalam insiden dipercayai akibat terkena letupan bahan peledak milik tentera sendiri ketika operasi merobohkan struktur di Khan Younis, selatan Semenanjung Gaza pada Sabtu.
Menurut kenyataan Pasukan Pertahanan Israel (IDF), mangsa dikenal pasti sebagai Lt. Ori Gerlic, 20 tahun, komander platun Batalion Shimshon Briged Kfir dari Meitar namun punca letupan itu masih belum dikenal pasti dan sedang disiasat.
Sehingga kini, angka korban tentera Israel dalam operasi darat menentang Hamas di Gaza serta operasi di sepanjang sempadan mencecah 460 orang, termasuk dua pegawai polis dan tiga kontraktor awam Kementerian Pertahanan.
Kematian Gerlic berlaku hanya beberapa hari selepas kem tentera Israel di Khan Younis diserang dalam serangan besar-besaran yang jarang berlaku oleh pejuang Hamas.
Menurut IDF, walaupun berlaku kelemahan kawalan yang membolehkan kumpulan bersenjata menembusi pos tentera, pasukan Israel berjaya menangkis serangan itu dan membunuh sekitar 15 penyerang. Tiga askar Israel cedera, seorang daripadanya parah.
Dalam perkembangan lain, kereta kebal Israel dilaporkan mara ke kawasan baharu di bandar Gaza pada Sabtu. Saluran Al Jazeera menyiarkan rakaman yang didakwa menunjukkan kereta kebal IDF di kejiranan Sabra, berhampiran Zeitoun, lokasi operasi tentera sejak lebih seminggu lalu.
IDF sebelum ini mengumumkan pihaknya kini berada di pinggir bandar Gaza menjelang serangan besar-besaran bagi menawan keseluruhan bandar itu. Puluhan ribu anggota simpanan dijangka dikerahkan mulai 2 September untuk operasi berkenaan.
Sementara itu, media Palestin melaporkan sekurang-kurangnya 34 orang terbunuh dalam serangan Israel pada Sabtu, termasuk enam mangsa yang sedang menunggu bantuan di kawasan Zikim di utara Gaza, dua terbunuh akibat serangan dron di sebuah khemah di Khan Younis, dan seorang lagi maut akibat serangan dron ke atas sebuah rumah di al-Sabra, selatan bandar Gaza.










