LONDON: Aktiviti pembalakan dan penerokaan hutan tropika meragut lebih setengah juta nyawa sepanjang dua dekad lalu akibat penyakit berkaitan haba, menurut satu kajian terbaharu yang diterbitkan dalam jurnal Nature Climate Change.
Kajian itu mendedahkan, penebangan hutan di kawasan tropika seperti Amazon, Congo dan Asia Tenggara meningkatkan suhu setempat kerana kehilangan teduhan, pengurangan taburan hujan serta peningkatan risiko kebakaran hutan.
Aktiviti pembalakan hutan menyumbang lebih satu per tiga kepada peningkatan suhu yang dialami penduduk di kawasan berkenaan, selain kesan perubahan iklim global.
Antara tahun 2001 hingga 2020, seramai 345 juta penduduk di kawasan tropika terdedah kepada pemanasan melampau akibat aktiviti tersebut, dengan kira-kira 2.6 juta daripadanya mengalami tambahan suhu sehingga tiga darjah Celsius.
Situasi ini turut mengorbankan 28,330 nyawa setiap tahun sepanjang tempoh kajian, dengan lebih separuh kematian berlaku di Asia Tenggara.
Benua Afrika pula mencatatkan satu per tiga daripada jumlah kematian, manakala bakinya direkodkan di Amerika Tengah dan Selatan.
“Ramai yang terkejut dengan penemuan ini kerana bahaya tempatan akibat penebangan hutan sering tenggelam dalam perbincangan perubahan iklim global yang lebih luas,” kata Profesor Dominick Spracklen dari Universiti Leeds.
Beliau turut menegaskan manfaat langsung mengekalkan hutan kanopi, khususnya di wilayah Mato Grosso, Brazil yang menjadi pusat pengeluaran soya dan berdepan ancaman pembalakan besar-besaran.
“Jika Mato Grosso mengekalkan hutannya, penduduk akan kurang terdedah kepada tekanan haba. Hutan bukan sekadar landskap kosong, ia mengawal suhu, membawa hujan dan menyokong sektor pertanian yang menjadi nadi kehidupan masyarakat setempat,” ujarnya.










