KANSAS CITY: Ketua jurulatih Argentina, Lionel Scaloni mahu skuad kendaliannya dikenang sebagai sebuah pasukan yang tidak pernah mengenal erti putus asa ketika mereka bersiap sedia menghadapi Switzerland dalam aksi suku akhir Piala Dunia 2026 di Stadium Arrowhead, awal pagi esok.
Juara bertahan itu mara cemerlang daripada peringkat kumpulan, namun terpaksa mengharungi laluan sukar apabila dipaksa bekerja keras menewaskan Cape Verde dan Mesir dalam pusingan kalah mati.
Argentina kini tidak tewas dalam 11 perlawanan Piala Dunia dan berpeluang menjadi negara pertama sejak Brazil pada 1962 mempertahankan kejuaraan dunia secara berturut-turut.
Bagaimanapun, Scaloni menjangkakan Switzerland yang terkenal dengan disiplin tinggi serta corak permainan tersusun bakal memberi tentangan sengit dalam perebutan tiket ke separuh akhir.
Menurut Scaloni, sokongan padu penyokong terhadap skuad La Albiceleste menjadi sumber inspirasi utama pasukannya untuk terus berjuang.
“Saya mahu pasukan kebangsaan ini dikenang sebagai sebuah pasukan yang tidak pernah berputus asa.
“Kami, barisan kejurulatihan dan pemain bermain bola sepak bukan semata-mata untuk menang. Apabila melihat sokongan ikhlas daripada penyokong, ia benar-benar menyentuh hati.
“Apabila melihat kanak-kanak berusia 10 tahun bercakap dengan penuh semangat sambil melaungkan nama Argentina, ia sangat mengharukan. Itulah legasi yang saya mahu tinggalkan,” katanya.
Dalam pada itu, aksi menentang Switzerland menyaksikan Lionel Messi kembali ke Stadium Arrowhead, gelanggang yang menyaksikan dia meledak hatrik ketika Argentina menewaskan Algeria 3-0 pada aksi pembukaan kejohanan.
Bintang Inter Miami itu kini berkongsi kedudukan teratas carta penjaring terbanyak bersama penyerang Perancis, Kylian Mbappe dengan lapan gol, selain muncul penjaring terbanyak sepanjang sejarah Piala Dunia menerusi 21 gol.
Walaupun Messi gagal menyempurnakan dua sepakan penalti sepanjang kejohanan, Scaloni menegaskan beliau tidak akan menarik tugas tersebut daripada kapten pasukannya itu.
“Tidak pernah terlintas di fikiran saya untuk menyuruhnya berhenti mengambil sepakan penalti. Biarkan dia membuat keputusan sendiri.
“Kami mempunyai pemain lain yang mampu mengambil penalti, tetapi jika dia mahu melakukannya, dia akan terus mengambilnya. Saya mahu dia bebas melakukan apa sahaja yang dirasakan terbaik di atas padang,” katanya.
Scaloni turut percaya Messi, yang kini berusia 39 tahun, masih mampu kekal sebagai pemain terbaik dunia selagi mempunyai keinginan untuk terus bersaing.
“Bagi saya, selagi dia mahu bermain, dia akan terus menjadi yang terbaik. Saya tidak berkata demikian kerana saya jurulatihnya, tetapi kerana saya melihat sendiri apa yang mampu dilakukannya setiap hari.
“Mereka yang melihat dia berlatih hari ini pun sukar membayangkan betapa hebatnya dia ketika berusia 23 tahun di Barcelona di bawah kendalian Pep Guardiola,” ujarnya.
Mengulas mengenai Switzerland, Scaloni menyifatkan pasukan yang diketuai Granit Xhaka itu sebagai lawan yang sangat berbahaya kerana memiliki pengalaman luas di pentas Piala Dunia.
“Mereka mempunyai sejarah panjang dalam Piala Dunia, dibarisi pemain berpengalaman dan sebuah pasukan yang sangat kuat. Kami amat menghormati mereka.
“Mereka menyingkirkan Colombia yang beraksi cemerlang sepanjang kejohanan ini. Jadi, kami sedar cabaran yang menanti amat sukar,” katanya.
Sekiranya berjaya menewaskan Switzerland, Argentina akan bertemu pemenang aksi antara England dan Norway pada peringkat separuh akhir.-AGENSI










