MIAMI: Ketua jurulatih Norway, Stale Solbakken mengakui pertembungan dua penyerang sensasi, Erling Haaland dan Harry Kane dijangka menjadi penentu utama aksi suku akhir Piala Dunia 2026 menentang England di Stadium Hard Rock, awal pagi esok.
Haaland tampil cemerlang apabila meledak tujuh gol dalam empat penampilan pertamanya di kejohanan utama, sekali gus membawa Norway mara ke suku akhir buat kali pertama sejak kembali ke pentas Piala Dunia selepas penantian 28 tahun.
Kane pula hanya ketinggalan satu gol di belakang penyerang Manchester City itu selepas mengumpul enam jaringan dalam kejohanan kali ini, selain menjadikan jumlah keseluruhan golnya di pentas Piala Dunia kepada 14 ketika membantu England mara ke suku akhir buat kali ketiga berturut-turut.
“Ini perlawanan Norway menentang England, tetapi bukan lagi rahsia bahawa Kane ialah pemain yang sering menentukan kemenangan England, manakala Haaland pula menjadi sandaran utama kami,” kata Solbakken pada sidang media praperlawanan.
Pengendali England, Thomas Tuchel diberi tanggungjawab oleh Persatuan Bolasepak England (FA) untuk membawa generasi berbakat The Three Lions menjulang kejuaraan selepas beberapa kali terkandas di ambang kejayaan di bawah bekas pengurus, Gareth Southgate.
Sebaliknya, Norway hadir ke kejohanan utama pertama mereka dalam tempoh 26 tahun dan sudah melangkaui jangkaan ramai, terutama selepas mengejutkan Brazil 2-1 pada pusingan 16 terbaik menerusi dua gol lewat Haaland.
“Setiap perlawanan di Piala Dunia ini adalah yang paling penting dalam sejarah bola sepak Norway, khususnya di peringkat kalah mati. Jadi, ini kali ketiga kami berdepan perlawanan paling penting.
“Saya melihat pemain berada dalam keadaan tenang, tetapi cukup kompetitif. England mungkin berdepan tekanan lebih besar, namun kami juga meletakkan tekanan terhadap prestasi sendiri. Sebaik sahaja perlawanan bermula, pemain hanya fokus kepada aksi di atas padang,” katanya.
Kemaraan Norway turut mencetuskan fenomena di tanah air mereka dan di Amerika Syarikat, dengan sambutan ‘kayuhan Viking’ oleh penyokong menjadi antara imej paling ikonik sepanjang kejohanan.
Populariti Haaland juga terus melonjak hasil ketajamannya di depan gawang selain personalitinya yang disenangi peminat.
“Seluruh rakyat Norway tidak sabar menantikan perlawanan ini. Kami sudah melalui beberapa malam yang cukup istimewa di Piala Dunia dan kejohanan ini benar-benar menyatukan negara.
“Mungkin situasi seperti ini akan menjadi lebih biasa selepas ini kerana saya percaya kami mampu terus layak ke Kejohanan Eropah dan Piala Dunia. Namun, hakikatnya sudah 26 tahun kami menunggu detik seperti ini,” ujarnya.
Aksi di Miami dijangka berlangsung dalam keadaan cuaca mencabar apabila suhu panas dan kelembapan tinggi dijangka mencecah lebih 40 darjah Celsius ketika sepak mula.
Justeru, Solbakken berkata pasukannya hanya menjalani latihan ringan sejak tiga hari lalu bagi memastikan semua pemain berada pada tahap kecergasan terbaik.
“Kami tidak melakukan latihan berat. Fokus lebih kepada taktikal pada intensiti rendah kerana perkara paling penting ialah memastikan pemain segar untuk perlawanan ini.
“Kedua-dua pasukan perlu menyesuaikan diri dengan keadaan cuaca yang sama,” katanya.- AGENSI










