UNRWA kutuk edaran bantuan udara di Gaza berbahaya, tidak bermaruah

UNRWA kutuk edaran bantuan udara di Gaza berbahaya, tidak bermaruah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAZA: Tumpuan terhadap bantuan melalui jatuhan udara di Gaza disifatkan sebagai ‘gangguan menjijikkan’ yang tidak akan mampu mengatasi krisis kebuluran yang semakin parah di wilayah itu, menurut amaran daripada beberapa ketua agensi bantuan kemanusiaan.

Tentera Israel pada Ahad memaklumkan mereka telah menjatuhkan bantuan kemanusiaan ke Semenanjung Gaza dari udara, selepas sebelum ini mengumumkan pembukaan koridor kemanusiaan untuk konvoi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Jordan dijangka turut melakukan penghantaran bantuan melalui udara dalam beberapa hari akan datang, sementara Perdana Menteri Britain, Keir Starmer berkata, kerajaan United Kingdom (UK) sedang melakukan segala yang mampu untuk menyalurkan bantuan ke Gaza melalui kaedah tersebut.

Namun, Ciarán Donnelly daripada International Rescue Committee menegaskan penghantaran udara tidak pernah mampu menyampaikan jumlah atau kualiti bantuan yang diperlukan oleh penduduk Gaza.

Lebih 100 organisasi bantuan antarabangsa dan kumpulan hak asasi manusia mengeluarkan amaran mengenai kebuluran besar-besaran di Gaza.

Kementerian Kesihatan Gaza melaporkan lima lagi kematian akibat kekurangan zat makanan pada Sabtu, menjadikan jumlah keseluruhan korban akibat kebuluran sejak perang bermula kini seramai 127 orang, termasuk 85 kanak-kanak.

Program Makanan Sedunia (WFP) memberi amaran satu daripada tiga rakyat Gaza tidak makan selama beberapa hari, dan seramai 90,000 wanita serta kanak-kanak memerlukan rawatan segera dalam apa yang digambarkan sebagai kebuluran besar buatan manusia.

Perbahasan tentang bantuan udara timbul akibat kegagalan bantuan kemanusiaan untuk memasuki Gaza melalui laluan darat konvensional.

Ketua Agensi Bantuan PBB bagi Pelarian Palestin (UNRWA), Philippe Lazzarini, berkata pada Sabtu penghantaran bantuan melalui udara adalah mahal, tidak efisien dan boleh membunuh orang awam yang kelaparan jika berlaku kesilapan.

Beliau mendedahkan, UNRWA kini mempunyai 6,000 buah trak bantuan yang sudah sedia di Jordan dan Mesir, namun masih menunggu lampu hijau untuk memasuki Gaza.

“Kita perlukan kemahuan politik untuk menamatkan kepungan, membuka pintu masuk dan menjamin pergerakan yang selamat serta akses bermaruah kepada mereka yang memerlukan.

“Menyalurkan bantuan melalui jalan darat jauh lebih mudah, berkesan, pantas, murah dan selamat. Ia juga lebih bermaruah untuk rakyat Gaza,” tulis Lazzarini.

Kenyataan itu dibuat sebelum pengumuman Israel berkenaan penubuhan koridor kemanusiaan khas bagi membolehkan pergerakan selamat konvoi PBB yang menghantar makanan dan ubat-ubatan.

Israel menegaskan tiada sekatan dikenakan terhadap kemasukan bantuan ke Gaza, malah seorang jurucakap kerajaan sebelum ini mendakwa PBB sedang bekerjasama dengan Hamas untuk mengganggu pengagihan bantuan.

PBB menolak dakwaan tersebut dan menuduh Israel menyekat keupayaan mereka untuk mengurus serta mengagihkan bantuan dalam Gaza melalui pelbagai halangan birokrasi.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×