Turkiye catat suhu terpanas dalam sejarah Eropah

Turkiye catat suhu terpanas dalam sejarah Eropah

PELANCONG berlindung daripada terik matahari ketika berjalan di Dataran Taksim di Istanbul, Turkiye.-AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SIRNAK: Turkiye mencatat suhu tertinggi baharu dalam sejarah Eropah pada hari Jumaat apabila wilayah tenggara Sirnak di daerah Silopi merekodkan bacaan mencecah 50.5 darjah Celsius, menurut data Perkhidmatan Meteorologi Negara.

Bacaan luar biasa itu sekali gus mengatasi suhu tertinggi benua Eropah sebelum ini iaitu 48.8 darjah Celsius yang direkodkan di Sicily, Itali pada Ogos 2021.

Pertubuhan Meteorologi Dunia (WMO) secara rasmi mengesahkan rekod dari Itali itu pada Januari 2024 selepas proses penilaian menyeluruh, termasuk analisis bebas serta penentukuran alat pengesan suhu dan pelindung suria di Sicily.

Sebelum itu, rekod suhu tertinggi Eropah sebanyak 48.0 darjah Celsius dipegang bersama oleh dua bandar di Greece, iaitu Athens dan Elefsina, sejak 10 Julai 1977. 

Walaupun rekod itu dimasukkan dalam Arkib Cuaca dan Iklim Ekstrem Global WMO yang ditubuhkan pada 2007, ia tidak pernah menerima pengesahan bebas daripada WMO seperti rekod Itali tersebut.

Pada Jumaat, suhu melebihi 40 darjah Celsius direkodkan di 31 wilayah di Turkiye, berdasarkan bacaan yang diambil dalam keadaan teduh pada ketinggian dua meter dari permukaan tanah. 

Perkhidmatan Meteorologi Türkiye melaporkan bahawa suhu di seluruh negara kini melebihi purata bermusim sebanyak 6 hingga 12 darjah.

Wilayah yang mengalami suhu melebihi 40 darjah Celsius termasuk Sirnak, Mardin, Siirt, Sanliurfa, Batman, Diyarbakir, Gaziantep, Kilis, Antalya, Adiyaman, Mugla, Hatay, Kahramanmaras, Aydin, Izmir, Denizli, Adana, Bingol, Elazig, Manisa, Burdur, Balikesir, Eskisehir, Tunceli, Edirne, Mersin, Malatya, Usak, Canakkale, Osmaniye dan Mus.

Fenomena suhu panas melampau ini berlaku dalam corak pemanasan global yang lebih meluas di rantau ini, dengan perkhidmatan meteorologi memberi amaran suhu tinggi luar biasa dijangka akan berterusan. 

WMO turut menegaskan rekod suhu ekstrem yang dikemukakan untuk pengesahan adalah gambaran semasa iklim global dan tidak menolak kemungkinan suhu lebih melampau boleh berlaku di Eropah dalam masa terdekat.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN