Tulis surat berunsur seksual kepada Epstein: Trump saman Rupert Murdoch, wartawan WSJ - Utusan Malaysia

Tulis surat berunsur seksual kepada Epstein: Trump saman Rupert Murdoch, wartawan WSJ

DONALD TRUMP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MIAMI: Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump memfailkan saman fitnah terhadap Rupert Murdoch iaitu pemilik syarikat induk Wall Street Journal (WSJ) dan serta dua wartawan akhbar tersebut.

Saman itu dibuat susulan penerbitan laporan yang mendakwa beliau pernah menulis surat berunsur seksual kepada jutawan Jeffrey Epstein pada ulang tahun ke-50 tokoh itu pada tahun 2003.

Saman tersebut difailkan di Mahkamah Persekutuan di Miami pada hari Jumaat dan menamakan Dow Jones & Company, News Corporation, Rupert Murdoch, serta wartawan Khadeeja Safdar dan Joseph Palazzolo sebagai defendan.

Trump mendakwa artikel yang diterbitkan WSJ itu adalah “palsu, berniat jahat dan bersifat fitnah,” sambil menegaskan surat berkenaan adalah rekaan semata-mata.

Menurut laporan WSJ, surat itu kononnya termasuk dalam sebuah buku hadiah eksklusif yang mengandungi mesej daripada pelbagai tokoh terkenal kepada Epstein.

Kandungan surat tersebut dikatakan ditulis dalam bentuk perbualan rekaan, dihiasi lukisan tangan wanita bogel, dan ditandatangani dengan nama “Donald” di bawah ilustrasi tersebut.

Trump menafikan secara mutlak beliau pernah menulis surat seperti itu.

“Itu bukan kata-kata saya, bukan gaya saya, dan saya juga tidak pernah melukis sebarang gambar.

“Saya telah memberi amaran kepada Rupert Murdoch agar tidak menerbitkan cerita palsu ini,” katanya.

Saman ini difailkan ketika tekanan meningkat terhadap pentadbiran Trump daripada penyokong dan pemerhati yang menuntut pendedahan penuh mengenai kes Jeffrey Epstein, termasuk senarai nama individu berprofil tinggi dan log penerbangan yang dikaitkan dengan rangkaian pemerdagangan seks Epstein.

Walau bagaimanapun, Jabatan Kehakiman AS baru-baru ini memaklumkan tiada “senarai pelanggan” rasmi yang boleh disahkan, dan menegaskan bahawa Epstein meninggal dunia akibat bunuh diri pada tahun 2019 semasa dalam tahanan.

Sebagai reaksi terhadap desakan awam untuk ketelusan, Trump mengarahkan Peguam Negara, Pam Bondi, supaya memohon kepada mahkamah agar transkrip juri besar berkaitan kes Epstein didedahkan kepada umum.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN