BANGKOK: Seorang wanita Thailand cemas apabila sebatang tulang ikan yang dia tertelan sebelum ini menembusi kulit lehernya dari dalam, selepas dua minggu berada dalam tubuh tanpa dikesan.
Kisah itu dikongsikan pengguna Facebook, Suriyan Buppa-art, yang memuat naik gambar keadaan leher isterinya, Sang Lan, dengan objek tajam berwarna putih kelihatan mencucuk keluar dari bawah kulit dipercayai hujung tulang ikan sepanjang dua sentimeter.
Menurut Suriyan, kejadian itu berlaku selepas isterinya menikmati semangkuk sup ikan pada pertengahan Jun lalu apabi;a isterinya secara tidak sengaja tertelan tulang ikan dan berasa sakit di bahagian kerongkong sebelum kemudian mencuba pelbagai petua tradisional seperti menelan nasi dan kerak roti bagi menolak tulang tersebut, namun gagal.
Kebimbangan itu membawa mereka ke hospital, namun imbasan X-ray pertama tidak menunjukkan sebarang objek asing, lalu mereka menyangka tulang tersebut mungkin sudah dikeluarkan atau larut secara semula jadi.
Sang Lan terus menjalani kehidupan seperti biasa meskipun masih berasa tidak selesa pada kerongkongnya.
Namun, selepas dua minggu, wanita itu menyedari lehernya mula membengkak, dan menyangka ia mungkin berpunca daripada masalah tiroid.
Lawatan kedua ke hospital juga tidak membawa sebarang jawapan apabila doktor hanya memberikan ubat tahan sakit dan melegakan bengkak, tanpa mengesan sebarang keanehan melalui imbasan baharu.
Situasi bertukar dramatik apabila Sang Lan, ketika ingin melekatkan tampalan ubat pada bahagian yang sakit, merasakan sesuatu yang tajam menekan dari dalam kulitnya. Setelah ditekan sedikit, hujung seakan jarum putih mula menonjol keluar dari bawah kulit.
Pasangan itu bergegas kembali ke hospital buat kali ketiga, dan doktor akhirnya mengeluarkan sebatang tulang ikan sepanjang dua sentimeter.










