Trump umum 10 lagi tebusan akan dibebaskan dari Gaza - Utusan Malaysia

Trump umum 10 lagi tebusan akan dibebaskan dari Gaza

DONALD TRUMP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, mengumumkan 10 lagi tebusan dijangka dibebaskan dari Gaza dalam tempoh terdekat, ketika usaha rundingan gencatan senjata antara Israel dan Hamas terus berjalan.

Pengumuman itu dibuat dalam satu majlis makan malam bersama ahli Parlimen di Rumah Putih, dengan Trump turut memuji peranan utusan khasnya, Steve Witkoff, yang dikatakan memainkan peranan penting dalam rundingan tersebut.

“Kita telah mendapatkan semula kebanyakan tebusan, dan ada 10 lagi yang akan dibebaskan tidak lama lagi. Kita berharap ia akan selesai dengan cepat,” kata Trump, tanpa mengulas lanjut mengenai tarikh atau butiran pembebasan.

Sejak 6 Julai, rundingan gencatan senjata baharu telah diadakan di Doha, dengan penyertaan wakil dari Israel dan Hamas serta sokongan aktif daripada AS. Rundingan itu menumpukan kepada cadangan gencatan senjata selama 60 hari, yang turut melibatkan pertukaran tebusan dan tahanan.

Menurut cadangan yang sedang dibincangkan, Hamas dijangka akan membebaskan 10 tebusan hidup dan menyerahkan mayat 18 lagi, manakala Israel pula akan membebaskan sejumlah tahanan Palestin sebagai balasan.

Jurucakap Hamas dalam kenyataan semalam menyatakan bahawa kumpulan itu menyokong usaha mencapai gencatan senjata sementara, tetapi menegaskan mereka mahukan penyelesaian menyeluruh jika rundingan semasa gagal membuahkan hasil.

Konflik di Gaza telah meragut lebih daripada 58,600 nyawa rakyat Palestin, menurut Kementerian Kesihatan Gaza, manakala Israel melaporkan hampir 1,650 rakyatnya dan warga asing terbunuh sejak permulaan perang, termasuk 1,200 mangsa serangan pada 7 Oktober 2023.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN