KERRVILLE: Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump, terkejut melihat tahap kemusnahan dahsyat akibat banjir kilat di Texas, yang meragut sekurang-kurangnya 120 nyawa termasuk puluhan kanak-kanak.
Trump bersama isterinya Melania melawat kawasan Hill Country di tengah Texas bagi bertemu anggota penyelamat, keluarga mangsa serta pegawai tempatan seminggu selepas bencana menghanyutkan rumah, kabin perkemahan, kenderaan dan orang ramai.
“Ini sangat menyedihkan, saya tak pernah lihat insiden seperti ini. Saya pernah lalui banyak taufan, puting beliung, tapi yang ini lain. Ia betul-betul dahsyat,” kata Trump semasa sesi meja bulat di Kerrville, kawasan paling teruk terjejas dalam Daerah Kerr.
Trump turut mengecam wartawan yang mempersoalkan kecekapan tindak balas pihak berkuasa terhadap bencana tersebut dan menegaskan beliau mahu memberi tumpuan kepada semangat solidariti bersama petugas kecemasan serta sukarelawan.
“Hati seluruh rakyat AS hancur luluh,” katanya, sambil duduk di meja yang dihiasi kain rentang hitam tertera mesej ‘Texas Strong’.
Terdahulu, pasangan Presiden itu disambut Gabenor Texas, Greg Abbott, di tebing Sungai Guadalupe di Kerrville, kawasan yang dipenuhi pokok tumbang dan sebuah treler terbalik.
Mereka menerima taklimat daripada Agensi Pengurusan Kecemasan Texas dan Jabatan Bomba Kerrville serta menyapa lebih 30 anggota penyelamat dan Pasukan Pengawal Pantai.
Misi mencari lebih 170 orang yang masih hilang termasuk lima kanak-kanak perempuan yang menyertai kem musim panas memasuki hari kelapan.
Pasukan penyelamat terus mengeluarkan timbunan lumpur dan serpihan.
Namun, tanpa sebarang laporan mangsa yang diselamatkan dalam minggu ini, kebimbangan semakin meningkat bahawa angka korban mungkin terus bertambah.
Trump turut menepis soalan yang membangkitkan kesan daripada pemotongan bajet ke atas agensi persekutuan terhadap keberkesanan tindak balas banjir tersebut.
Beliau menyifatkan tragedi itu sebagai bencana 100 tahun yang tiada siapa jangka akan berlaku.
Pada Khamis lalu, Ketua Keselamatan Dalam Negeri, Kristi Noem yang turut bersama Trump di Texas, mempertahankan tindakan pantas kerajaan persekutuan dengan menyatakan bahawa tindak balas awal terhadap bencana itu adalah cekap dan segera.- AGENSI










