Tiga warga Thailand cedera akibat serangan roket tentera Kemboja - Utusan Malaysia

Tiga warga Thailand cedera akibat serangan roket tentera Kemboja

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PHNOM PENH: Ketegangan di sempadan Thailand-Kemboja terus memuncak apabila tentera kedua-dua negara sekali lagi bertempur pagi ini berhampiran kawasan yang menjadi rebutan, menyebabkan tiga orang awam Thailand cedera akibat serangan roket yang didakwa dilancarkan oleh tentera Kemboja.

Pertempuran terbaharu tercetus di kawasan Segi Tiga Zamrud, iaitu sempadan strategik yang melibatkan Thailand, Kemboja dan Laos, yang turut menempatkan beberapa kuil purba bersejarah.

Insiden pagi ini berlaku berhampiran dua kuil di kawasan sempadan antara wilayah Surin, Thailand dan Oddar Meanchey, Kemboja.

Menurut jurucakap Kementerian Pertahanan Kemboja, Maly Socheata, tentera Thailand didakwa mencabuli kedaulatan negara itu dengan melancarkan serangan ke atas pasukan Kemboja yang berada di kawasan berkenaan.

“Tentera Thailand telah melanggar integriti wilayah Kemboja dengan menyerang pasukan kami yang ditugaskan mempertahankan kedaulatan negara,” katanya dalam satu kenyataan rasmi.

Sebagai tindak balas, katanya, angkatan bersenjata Kemboja menggunakan hak mempertahankan diri selaras dengan undang-undang antarabangsa bagi menangkis pencerobohan tersebut.

Bagaimanapun, tentera Thailand menafikan dakwaan itu dan menuduh pasukan Kemboja sebagai pihak yang memulakan serangan.

Mereka mendakwa dua roket jenis BM‑21 yang dilancarkan pasukan Kemboja telah mengenai kawasan kediaman di Daerah Kap Choeng, Surin, menyebabkan tiga penduduk tempatan cedera.

Menurut kenyataan tentera Thailand, pertempuran bermula sekitar puku 7:35 pagi waktu tempatan apabila unit yang mengawal Kuil Ta Muen mendengar bunyi dron dipercayai milik Kemboja.

Pada pukul 8:20 pagi, enam anggota tentera Kemboja bersenjata, termasuk seorang membawa pelancar roket, dilaporkan menghampiri pagar kawat berduri berhampiran pos tentera Thailand, sebelum melepaskan tembakan ke arah timur kuil iaitu kira-kira 200 meter dari kedudukan tentera Thailand.

Perdana Menteri Sementara Thailand, Phumtham Wechayachai, menyeru semua pihak bertindak berhati-hati dan mematuhi undang-undang antarabangsa.

“Situasi ini memerlukan tindak balas yang cermat. Kita mesti bertindak mengikut kerangka undang-undang antarabangsa, dan pada masa yang sama mempertahankan kedaulatan negara,” katanya.

Susulan insiden ini, Kedutaan Thailand di Phnom Penh telah mengeluarkan nasihat keselamatan kepada rakyatnya di Kemboja, menggesa mereka agar meninggalkan negara itu secepat mungkin, kecuali jika mempunyai alasan mendesak untuk terus berada di sana. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN