KENTUCKY: Dua wanita terbunuh manakala beberapa yang lain cedera dalam satu insiden tembakan di sebuah gereja di Kentucky pada Ahad sebelum suspek ditembak mati oleh pihak berkuasa.
Insiden bermula apabila suspek melepaskan tembakan di Gereja Baptis Richmond Road, Lexington, mengorbankan dua wanita serta mencederakan dua lelaki dengan seorang daripadanya kritikal.
Ketua Polis Lexington, Lawrence Weathers mengesahkan kejadian dalam satu sidang media petang itu.
Identiti dan umur suspek belum didedahkan oleh pihak berkuasa.
“Hari ini adalah hari yang sangat sukar. Kadangkala, perkara berlaku tanpa sebab yang jelas,” kata Weathers
Menurut polis, suspek terlebih dahulu melepaskan tembakan ke arah seorang anggota polis negeri sekitar pukul 11.30 pagi waktu tempatan, selepas dihentikan berhampiran Lapangan Terbang Blue Grass.
Kejadian berlaku di jalan sekitar lapangan terbang dan tidak menjejaskan operasi penerbangan.
Anggota polis terbabit kini dirawat di hospital berdekatan dan stabil.
Suspek kemudian merampas sebuah kenderaan kira-kira 16 kilometer dari lapangan terbang dan melarikan diri ke Gereja Baptis Richmond Road.
Di sana, suspek melepaskan tembakan ke arah orang ramai di perkarangan gereja sebelum polis mengesannya berdasarkan lokasi kenderaan yang dilarikan.
Motif serangan masih belum diketahui, namun Ketua Polis Weathers memaklumkan terdapat kemungkinan suspek mengenali beberapa individu yang berada di gereja ketika kejadian.










