BANGKOK: Pemerintahan Pertahanan Sempadan Chanthaburi-Trat pada Jumaat telah menguatkuasakan undang-undang tentera di beberapa daerah di timur Thailand, susulan ketegangan yang semakin meruncing di sempadan negara itu dengan Kemboja.
Langkah drastik ini diambil selepas dua hari pertempuran yang setakat ini telah meragut sekurang-kurangnya 20 nyawa.
Pelaksanaan undang-undang tentera memberi kuasa penuh kepada pihak tentera untuk mengekalkan keamanan, mengawal kawasan berisiko dan memastikan kelangsungan hidup harian penduduk.
Tindakan ini mencerminkan kebimbangan terhadap keselamatan awam berikutan konflik berterusan di kawasan sempadan yang dipertikaikan, termasuk sekitar Kuil Bersejarah Preah Vihear yang menjadi rebutan sejak sekian lama.
Timbalan Jurucakap Tentera Laut Diraja Thailand, Laksamana Muda Paratch Rattanachaipan, berkata keputusan untuk mengisytiharkan undang-undang tentera dibuat oleh Panglima Pemerintahan Pertahanan Sempadan Chanthaburi-Trat selepas mengambil kira situasi keselamatan semasa.
“Undang-undang tentera ini dilaksanakan di beberapa daerah pedalaman dalam wilayah Chanthaburi dan Trat. Ia memberi kuasa undang-undang kepada anggota tentera untuk menjalankan operasi keselamatan, termasuk menetapkan zon selamat bagi orang awam,” katanya dalam satu kenyataan.
Paratch turut menegaskan bahawa orang awam masih boleh menjalani aktiviti harian seperti biasa dan tiada keperluan untuk panik, memandangkan pendekatan ini pernah dilaksanakan di kawasan lain dengan gangguan minimum kepada kehidupan rakyat.
Undang-undang tentera biasanya dikuatkuasakan ketika keadaan darurat seperti perang atau ketidaktenteraman awam yang serius, apabila kuasa awam tidak lagi mampu menjamin keselamatan.
Konflik terbaharu tercetus sejak Khamis lalu apabila pasukan tentera Thailand dan Kemboja terlibat dalam pertempuran di kawasan sempadan yang tidak dipersetujui. Kedua-dua pihak saling menuding jari antara satu sama lain atas permulaan keganasan terbaharu itu.
Sebelum ini, satu pertempuran turut berlaku pada 28 Mei berhampiran Kuil Preah Vihear, menyebabkan seorang anggota tentera Kemboja terbunuh. Ketegangan antara Thailand dan Kemboja di sempadan telah berlarutan selama bertahun-tahun, dengan beberapa konfrontasi diplomatik dan ketenteraan tercetus susulan pertikaian mengenai sempadan wilayah bersejarah berkenaan.
Kementerian Pertahanan Thailand dalam kenyataan berasingan berkata mereka kini sedang menilai situasi secara berterusan dan akan meningkatkan kehadiran pasukan keselamatan di kawasan yang dianggap berisiko tinggi.










