Tentera Israel dedah trauma, ketakutan melampau ketika berkhidmat di Gaza

Tentera Israel dedah trauma, ketakutan melampau ketika berkhidmat di Gaza

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEL AVIV: Lima anggota tentera Israel tampil berkongsi pengalaman traumatik mereka sepanjang berkhidmat dalam perang Gaza, mendedahkan tekanan mental yang mendalam dan ketakutan berterusan yang menyelubungi pasukan tentera.

Perkongsian yang dilaporkan dalam akhbar Haaretz itu bercanggah dengan naratif rasmi tentera Israel.

Seperti dipetik Anadolu, temu bual tersebut melibatkan seorang anggota berusia 20 tahun dikenali sebagai Or, yang bertugas dalam pasukan tentera peninjau payung terjun.

Menerusi laporan tersebut, Or berkongsi pengalaman ngerinya ketika memasuki kawasan runtuhan sebuah rumah di Khan Younis yang dibedil oleh serangan udara Israel.

“Di celah runtuhan, apa yang dahulunya tembok, kami temui lima, mungkin enam mayat. Lalat berterbangan di merata-rata.

“Saya rasa anjing liar sudah mengoyakkan daging mayat itu. Hampir tiada apa yang tinggal,” katanya.

Tambah Or lagi, antara mayat yang ditemui itu termasuk dua kanak-kanak kecil.

“Saya nampak tulang mereka. Ia benar-benar mengerikan, sukar dilupakan dan masih menghantui tidur saya setiap malam.

Beliau turut menggambarkan bau mayat yang begitu kuat menyelubungi tubuhnya.

“Saya tak dapat hilangkan baunya. Ia melekat pada pakaian saya. Malam itu saya sembur badan dengan pewangi berkali-kali, tetapi bau itu tetap tidak hilang.

Tidak lama selepas insiden tersebut, beliau diarahkan kembali ke sempadan Gaza tanpa tarikh pulang yang jelas.

“Kami segera kemas barang dan muatkan ke dalam Humvee. Saya teringin benar untuk melompat keluar, untuk lari tetapi saya tak ada keberanian.

Or turut menggambarkan keadaan di Gaza sebagai pengalaman menyeksakan.

“Seminggu lagi dengan letupan tanpa henti. Seminggu lagi dengan stokin yang melekat di kulit, panas yang tak dapat saya gambarkan. Ia seperti mimpi ngeri yang hidup.

“Saya cuma mahu semua ini berakhir, tolonglah,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN