Selepas tewas kepada Mamdani, Cuomo tetap mahu bertanding jawatan Datuk Bandar New York - Utusan Malaysia

Selepas tewas kepada Mamdani, Cuomo tetap mahu bertanding jawatan Datuk Bandar New York

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW YORK: Andrew Cuomo mengesahkan beliau akan meneruskan hasratnya untuk bertanding jawatan Datuk Bandar New York sebagai calon bebas, meskipun mengalami kekalahan mengejut kepada calon progresif Zohran Mamdani dalam pemilihan utama Parti Demokrat bulan lalu.

Bekas Gabenor Negeri New York yang meletak jawatan pada 2021 selepas berdepan dakwaan gangguan seksual itu menyatakan komitmennya untuk terus bertanding dalam satu video yang dimuat naik di media sosial pada Isnin.

“Seperti yang datuk saya selalu kata, bila kamu jatuh, ambil iktibar, bangkit semula dan teruskan perjuangan. Dan itulah yang saya akan lakukan. Perjuangan untuk menyelamatkan bandar kita masih belum selesai,” kata Cuomo.

Kemenangan Mamdani dengan kelebihan 12 mata ke atas Cuomo dalam pemilihan utama Demokrat telah memberi nafas baharu kepada gerakan progresif dan pendirian kritikal terhadap Israel mencetuskan kebimbangan di kalangan Demokrat yang lebih pro-perniagaan. Mereka kini mencari alternatif untuk menyaingi Mamdani selepas kekalahan Cuomo.

Pilihan raya umum dijadual berlangsung pada November di mana Mamdani akan berdepan Cuomo, Datuk Bandar sedia ada Eric Adams dan Curtis Sliwa yang mewakili Parti Republikan. Adams kini ketinggalan dalam kebanyakan tinjauan pendapat selain reputasinya terjejas akibat beberapa skandal rasuah sepanjang pentadbirannya.

“Saya mengalu-alukan semua yang menyertai perlumbaan ini dan keyakinan saya tetap teguh sejak malam kemenangan dalam pemilihan utama tiga minggu lalu,” ujar Mamdani sambil menegaskan beliau memperoleh jumlah undi tertinggi dalam sejarah pencalonan Demokrat di bandar New York.

“Kami menang kerana ketika Andrew Cuomo dan Eric Adams sibuk membuat perjanjian rahsia dengan golongan bilionair, kami berdiri teguh memperjuangkan nasib rakyat pekerja New York,” katanya.

Cuomo sebelum ini dilihat sebagai calon pilihan utama dalam pemilihan Parti Demokrat untuk jawatan datuk bandar di bandar yang dikuasai liberal itu.

Namun, beliau semakin kehilangan sokongan apabila Mamdani, seorang demokrat sosialis berusia 33 tahun, berjaya meraih sokongan melalui kempen yang memberi tumpuan kepada kos sara hidup dan dasar keadilan ekonomi.

Antara janji utama Mamdani ialah menyediakan perkhidmatan bas percuma dan membuka pasar raya kendalian bandar yang menawarkan barang keperluan pada harga mampu milik.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN