JAKARTA: Perjanjian tarif baharu Indonesia yang memberikan akses bebas cukai kepada Amerika Syarikat (AS) dalam pasaran negara itu berkemungkinan melemahkan ekonominya yang merupakan terbesar di Asia Tenggara.
Jakarta sebelum ini bersetuju menghapuskan hampir semua tarif terhadap import dari AS kepada sifar dan memansuhkan semua halangan bukan tarif yang dihadapi oleh syarikat-syarikat dari negara itu.
Tarif AS ke terhadap import dari Indonesia pula akan ditetapkan pada kadar 19 peratus, menurut kenyataan bersama yang dikeluarkan oleh Rumah Putih.
Kerangka Perjanjian Perdagangan Timbal Balik AS-Indonesia ini diumumkan selepas rundingan yang berlangsung awal bulan ini, selepas Presiden Donald Trump mengancam mengenakan tarif sebanyak 32 peratus terhadap eksport dari Indonesia.
“Zaman keemasan telah tiba. AS dan Indonesia sudah mencapai perjanjian perdagangan bersejarah,” kata Rumah Putih.
Perjanjian ini juga akan mengecualikan produk makanan dan pertanian dari AS daripada rejim pelesenan import Indonesia, menghapuskan halangan untuk perdagangan digital serta sekatan eksport ke atas mineral kritikal.
Menurut penganalisis, perjanjian baharu Jakarta dengan Washington yang dijangka dimuktamadkan dalam beberapa minggu akan datang bakal meletakkan Indonesia dalam keadaan yang merugikan.
“Perjanjian ini tidak menguntungkan kita. Kita dahulunya menikmati tarif sifar dan kini ia menjadi 19 peratus.
“Walaupun ini lebih rendah daripada 32 peratus, Indonesia tidak sepatutnya menerima perjanjian ini kerana kita yang akan rugi,” kata Yose Rizal Damuri, pengarah eksekutif di Pusat Kajian Strategik dan Antarabangsa (CSIS) yang berpangkalan di Jakarta kepada Arab News.
AS ialah pasaran kedua terbesar bagi Indonesia selepas China, dengan nilai eksport melebihi AS$26 bilion (RM110 bilion) pada tahun 2024, menurut agensi statistik Indonesia.
Kenyataan Rumah Putih juga menyebut mengenai ‘perjanjian perdagangan akan datang antara syarikat-syarikat AS dan Indonesia’, termasuk pembelian pesawat bernilai AS$3.2 bilion (RM13.4 bilion), pembelian produk pertanian seperti kacang soya, gandum dan kapas bernilai AS$4.5 bilion (RM19 bilion), serta pembelian produk tenaga bernilai AS$15 bilion (RM63 bilion).
Vietnam yang bersetuju dengan tarif sifar ke atas eksport AS dan 20 peratus terhadap barangannya sendiri, mempunyai perjanjian yang dianggap lebih baik berbanding Indonesia.
“Pengurangan tarif Vietnam daripada 46 peratus kepada 20 peratus adalah lebih ketara berbanding pengurangan tarif Indonesia daripada 32 peratus kepada 19 peratus.
“Rundingan Vietnam lebih berkesan berbanding Indonesia. Sepatutnya, Indonesia boleh mencapai pengurangan yang lebih besar lagi,” kata Pengarah Eksekutif di Pusat Kajian Ekonomi dan Undang-undang Yudhistira.
Perjanjian tarif ini juga berisiko tinggi kepada imbangan dagangan Indonesia.










