WASHINGTON: Para saintis memberi amaran ratusan gunung berapi tidak aktif di seluruh dunia berisiko kembali aktif dan meletus, dengan letusan lebih kuat daripada sebelumnya didorong oleh kesan perubahan iklim yang semakin ketara.
Dalam satu kajian terbaharu oleh penyelidik dari Universiti Wisconsin-Madison, Amerika Syarikat (AS), pencairan glasier secara senyap mungkin menyediakan ‘pentas’ untuk letusan-letusan yang lebih kerap di masa hadapan.
Antara kawasan yang dikenal pasti berisiko tinggi termasuk Amerika Utara, New Zealand, dan Russia.
“Glasier secara semula jadi menekan aktiviti letusan gunung berapi yang terletak di bawahnya.
“Tetapi apabila glasier mula mencair akibat perubahan iklim, kajian kami menunjukkan bahawa gunung-gunung berapi ini berpotensi meletus dengan lebih kerap dan dalam bentuk letusan yang lebih kuat,” kata Pablo Moreno-Yaeger, seorang daripada penyelidik utama kajian tersebut.
Pasukan penyelidik menggunakan kaedah penanggalan argon dan analisis kristal terhadap enam gunung berapi di selatan Chile termasuk gunung berapi Mocho-Choshuenco yang kini tidak aktif untuk mengkaji bagaimana pergerakan maju dan surut Lembaran Ais Patagonia mempengaruhi corak letusan pada masa lalu.
Dengan menganalisis kristal dalam batuan hasil letusan dan menentukan tarikh letusan secara tepat, mereka mendapati bahawa semasa kemuncak Zaman Ais terakhir (sekitar 26,000 hingga 18,000 tahun lalu), lapisan ais tebal menekan aktiviti letusan.
Namun, ia juga membolehkan sejumlah besar magma terkumpul jauh di bawah permukaan sehingga kedalaman 15 kilometer.
Apabila ais tersebut mencair, tekanan mula berkurangan, lalu membolehkan magma itu naik dengan cepat dan mewujudkan potensi letusan yang jauh lebih dahsyat.
Tetapi apabila lapisan ais mencair dengan cepat pada penghujung Zaman Ais yang lalu, kehilangan berat secara mendadak menyebabkan kerak Bumi ‘mengendur’ dan gas dalam magma mula mengembang.
Peningkatan tekanan ini telah mencetuskan letusan gunung berapi yang meletup daripada takungan magma jauh di dalam bumi. – AGENSI










