BANGKOK: Kumpulan penunjuk perasaan Ruam Palang Paendin berikrar mengadakan satu lagi protes besar-besaran pada pertengahan Ogos, bagi mendesak peletakan jawatan Perdana
Menteri Paetongtarn Shinawatra dan penarikan diri parti-parti gabungan daripada kerajaan pimpinan Pheu Thai.
Paetongtarn ketika ini digantung daripada menjalankan tugas sebagai perdana menteri oleh Mahkamah Perlembagaan hari ini, namun beliau masih memegang jawatan tersebut sementara menunggu keputusan mahkamah.
Kumpulan itu sebelum ini menganjurkan satu perhimpunan besar secara aman di Tugu Peringatan Kemenangan pada 28 Jun.
Seorang daripada pemimpin protes, Jatuporn Prompan, menegaskan Ruam Palang Paendin menolak rampasan kuasa, namun pada masa yang sama turut menolak kepemimpinan Paetongtarn sebagai perdana menteri.
Beliau menuduh parti Pheu Thai sebagai hipokrit kerana mengisytiharkan penolakan terhadap rampasan kuasa, tetapi pada masa yang sama bekerjasama dengan parti United Nation dan Palang Pracharath yang kedua-duanya diasaskan oleh pihak melakukan rampasan kuasa dalam pembentukan kerajaan.
Beliau juga mengkritik parti pembangkang, People’s Party, sebagai pembangkang yang “separuh hati” kerana gagal menjalankan peranan dengan bersungguh-sungguh, dengan merujuk kepada kes pencerobohan tanah Khao Hai dan padang golf Alpine.
Jatuporn berkata, terdapat bukti yang mencukupi untuk membawa kes-kes ini ke Mahkamah Perlembagaan, tetapi People’s Party tetap enggan berbuat demikian.
Beliau berkata, parti itu juga menolak menyokong usaha parti Bhumjaithai untuk mengadakan perbahasan undi tidak percaya terhadap Paetongtarn.
Menurut Jatuporn, jika People’s Party sendiri tidak bersungguh-sungguh menjalankan tanggungjawab mereka, maka mereka tidak layak untuk menuduh pemimpin protes sebagai pihak yang menyokong rampasan kuasa bagi menggulingkan kerajaan.










