BANGKOK: Thailand melantik individu ketiga untuk mengetuai pejabat Perdana Menteri dalam tempoh seminggu hari ini apabila raja negara ini mengangkat sumpah Kabinet baharu.
Pada Selasa lalu, Mahkamah Perlembagaan menggantung tugas Perdana Menteri Paetongtarn Shinawatra sementara siasatan etika dijalankan dan mungkin mengambil masa berbulan-bulan.
Kuasa kemudian diserahkan kepada Menteri Pengangkutan merangkap Timbalan Perdana Menteri, Suriya Jungrungreangkit, yang hanya sempat memegang jawatan itu selama satu hari, sebelum berlaku peralihan dalam tempoh interim yang serba janggal menjelang penyusunan semula kabinet.
Bekas Menteri Pertahanan, Phumtham Wechayachai, mengangkat sumpah sebagai Menteri Dalam Negeri di hadapan Raja pada pagi Khamis, sekali gus memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri yang lebih tinggi daripada Suriya dan menjadikannya pemangku Perdana Menteri.
Kerajaan Thailand mengumumkan dalam satu kenyataan kabinet baharu telah meluluskan perlantikan Phumtham sebagai pemangku Perdana Menteri dalam mesyuarat pertamanya.
Sebelum digantung tugas, Paetongtarn melantik dirinya sendiri sebagai Menteri Kebudayaan dalam kabinet baharu, yang bermakna beliau masih mengekalkan kedudukan dalam hierarki kuasa tertinggi negara.
Pertukaran tampuk kepimpinan yang begitu pantas ini berlaku ketika Thailand sedang bergelut untuk memulihkan ekonomi yang perlahan dan menyelesaikan rundingan perdagangan penting dengan Amerika Syarikat bagi mengelak ancaman tarif 36 peratus yang dikemukakan oleh Presiden Donald Trump.
Phumtham dikenali sebagai orang kepercayaan setia kepada Paetongtarn dan bapanya, Thaksin Shinawatra – tokoh berpengaruh dan ketua dinasti politik yang telah mendominasi politik Thailand pada abad ke-21.
Phumtham, 71, memperoleh gelaran “Komrad Besar” kerana penglibatannya dalam gerakan belia berhaluan kiri pada tahun 1970-an, sebelum menceburi politik menerusi kerjayanya dalam empayar telekomunikasi milik Thaksin.
Dalam kabinet-kabinet terdahulu, beliau pernah memegang portfolio Menteri Pertahanan dan Menteri Perdagangan, serta pernah menjadi pemangku Perdana Menteri ketika krisis politik melanda tahun lalu.










