JAKARTA: Seorang peserta pertandingan ratu cantik Miss Indonesia telah digugurkan daripada menyertai acara tersebut selepas satu video menunjukkan dirinya mengibarkan bendera Israel tular di media sosial, mencetuskan kemarahan rakyat Indonesia yang telah lama menunjukkan solidariti terhadap perjuangan rakyat Palestin.
Peserta terbabit, Merince Kogoya yang pada asalnya dijadual mewakili wilayah Highland Papua dalam pusingan akhir Miss Indonesia pada 9 Julai ini telah dikeluarkan secara senyap daripada pertandingan minggu lalu setelah video yang dirakam pada Mei 2023 itu mendapat perhatian meluas di platform media sosial.
Video berkenaan memperlihatkan Kogoya sedang menari sambil mengibarkan bendera Israel dan telah mencetuskan kecaman hebat dalam kalangan warganet serta mendorong penganjur pertandingan mengambil tindakan drastik.
Kogoya telah digantikan oleh Karmen Anastasya, peserta naib juara dari wilayah yang sama.
Dalam satu hantaran di Instagram pada Isnin, Kogoya yang menyenaraikan ‘I stand with Israel’ dalam bio akaunnya mengesahkan bahawa penyingkirannya adalah disebabkan oleh komen awam yang diterimanya susulan penyebaran semula video tersebut.
“Video yang sudah dua tahun lamanya itu telah dikongsi secara meluas dan disalah tafsir dengan pelbagai pandangan tentang kepercayaan saya.
“Saya turut memohon maaf kepada keluarga besar Highland Papua. Saya telah berusaha memberikan yang terbaik namun hakikatnya keputusan @missindonesia dibuat berdasarkan komen yang tidak selari dengan pegangan saya,” tulisnya.
Kogoya tidak memberikan sebarang respons kepada permintaan komen daripada Arab News setakat ini.
Indonesia, negara keempat paling ramai penduduk di dunia telah lama menyokong kuat perjuangan Palestin sejajar dengan pendirian rakyat dan pemerintahnya yang menganggap penubuhan negara Palestin sebagai satu amanah perlembagaan yang menolak segala bentuk penjajahan.
Negara Asia Tenggara itu tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel dan kerajaan Indonesia secara konsisten menyeru agar penjajahan Israel ke atas wilayah Palestin ditamatkan serta menekankan penyelesaian dua negara berdasarkan sempadan pra-1967.-AGENSI










