RIO DE JANEIRO: Negara-negara anggota BRICS semalam menyatakan kebimbangan terhadap tindakan tarif import yang dianggap “sembarangan” oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, yang didakwa boleh menjejaskan ekonomi global.
Kenyataan bersama sidang kemuncak BRICS yang diadakan di Brazil itu menyebut, langkah satu hala berkaitan tarif dilihat menjejaskan kestabilan perdagangan antarabangsa dan membawa impak negatif kepada pertumbuhan ekonomi dunia.
Blok BRICS yang terdiri daripada 11 negara termasuk Brazil, Rusia, India, China dan Afrika Selatan kini mewakili hampir separuh daripada populasi dunia serta 40 peratus keluaran ekonomi global.
Walaupun negara-negara ini berbeza pendirian dalam pelbagai isu, mereka mencapai kata sepakat dalam mengecam pendekatan perdagangan yang tidak menentu oleh Washington, meskipun tanpa menyebut nama Presiden Trump secara langsung.
“Langkah tarif secara unilateral yang meningkat kebelakangan ini amat membimbangkan dan berisiko tinggi terhadap kestabilan ekonomi global,” menurut kenyataan sidang kemuncak itu.
April lalu, Trump mengancam untuk mengenakan tarif tambahan terhadap negara-negara rakan dan lawan kecuali mereka memeterai perjanjian baharu menjelang 1 Ogos.
Bagaimanapun, ancaman itu ditangguhkan buat sementara selepas berlaku kejatuhan pasaran secara besar-besaran.
Kenyataan BRICS kali ini juga tidak menyebut secara khusus nama mana-mana negara, dipercayai sebagai langkah diplomatik bagi meredakan ketegangan dengan sekutu AS.
Sidang kemuncak itu turut menyentuh isu kecerdasan buatan (AI), dengan menyeru kepada pengawalseliaan global terhadap teknologi tersebut. BRICS menegaskan bahawa kemajuan AI tidak seharusnya dimonopoli oleh negara-negara maju semata-mata.
Pada masa ini, sektor AI komersial dikuasai oleh syarikat teknologi gergasi dari Amerika Syarikat, namun China dan beberapa negara anggota BRICS lain kini dilihat giat membangun keupayaan mereka dalam bidang tersebut.










