BANGKOK: Pemangku Perdana Menteri Thailand dijangka memegang tampuk pemerintahan negara hanya untuk satu hari penuh pada hari Rabu, menggantikan perdana menteri yang digantung tugas, Paetongtarn Shinawatra, sebelum beliau sendiri akan digantikan dalam satu rombakan kabinet.
Menteri Pengangkutan merangkap Timbalan Perdana Menteri, Suriya Jungrungreangkit, memulakan tugasan rasmi beliau dengan menghadiri satu majlis di Bangkok yang meraikan sejarah panjang pejabat perdana menteri.
Majlis itu diadakan sempena ulang tahun ke-93 institusi tersebut, namun Suriya dijangka hanya mengetuainya untuk tempoh yang jauh lebih singkat iaitu kurang daripada 93 jam.
Dalam satu majlis ringkas yang terbuka kepada media, Suriya enggan mengulas apabila ditanya mengenai perasaannya memegang jawatan tertinggi negara untuk tempoh yang sangat singkat, yang menandakan kemuncak kepada kerjaya politik beliau selama beberapa dekad.
Beliau hanya berkata, keutamaannya adalah untuk “menandatangani satu dokumen” bagi memastikan peralihan kuasa berjalan lancar kepada pengganti beliau pada hari Khamis.
Mahkamah Perlembagaan Thailand pada Selasa menyatakan terdapat “sebab yang munasabah untuk mengesyaki” Paetongtarn melanggar etika menteri dalam satu pertikaian diplomatik dengan Kemboja, dan menggantung beliau daripada tugas sementara siasatan dijalankan — satu proses yang dijangka mengambil masa berbulan-bulan.










