SEOUL: Seorang pelarian Korea Utara bakal mengemukakan saman sivil dan jenayah terhadap Pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un atas penyeksaan dan penderaan seksual yang dialaminya semasa dalam tahanan di negara asalnya.
Choi Min Kyung yang melarikan diri ke China pada tahun 1997, dihantar pulang secara paksa ke Korea Utara pada 2008.
Menurutnya, sebaik sahaja ditahan semula, beliau menjadi mangsa penderaan seksual dan penyeksaan fizikal oleh pihak berkuasa Korea Utara.
Beliau dijadualkan memfailkan kes itu di Seoul pada Jumaat sekali gus menjadi pelarian kelahiran Korea Utara pertama mengambil tindakan undang-undang secara langsung terhadap rejim di Pyongyang.
Perkara itu dilaporkan sebuah pertubuhan hak asasi manusia berpangkalan di Korea Selatan, Database Center for North Korean Human Rights (NKDB) yang membantu Min Kyung.
Walaupun mahkamah di Seoul pernah membuat keputusan terhadap Korea Utara dalam kes-kes serupa yang melibatkan rakyat Korea Selatan, keputusan tersebut kebanyakannya bersifat simbolik dan tidak diendahkan oleh Pyongyang.
Namun, dalam kes Min Kyung, saman tersebut turut menamakan Jong Un serta empat pegawai kanan lain di Pyongyang sebagai defendan.
NKDB turut merancang untuk membawa kes tersebut ke peringkat antarabangsa termasuk ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).
“Saya benar-benar berharap langkah kecil ini akan menjadi batu asas bagi pemulihan kebebasan dan maruah manusia, agar tiada lagi rakyat Korea Utara yang tidak bersalah menderita di bawah rejim kejam ini.
“Sebagai mangsa penyeksaan dan orang yang terselamat daripada rejim Korea Utara, saya memikul tanggungjawab besar dan mendesak untuk mendakwa Dinasti Kim atas jenayah terhadap kemanusiaan,” kata Min Kyung dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh NKDB pada Rabu.
Min Kyung sekali lagi melarikan diri dari Korea Utara pada tahun 2012 dan kini menetap di Korea Selatan.
Namun dia mengalami masih trauma psikologi akibat pengalamannya dan kini terpaksa bergantung kepada ubat-ubatan untuk rawatan.
Selama bertahun-tahun, pelbagai organisasi antarabangsa merekodkan pelanggaran hak asasi manusia yang serius di Korea Utara, termasuk penderaan terhadap tahanan politik serta diskriminasi sistematik berdasarkan jantina dan latar belakang sosial.
Pengarah Eksekutif NKDB, Hanna Song memberitahu BBC Korean, kes ini membawa makna penting kerana ia menggabungkan tuntutan jenayah dan sivil secara serentak yang belum pernah dilakukan sebelum ini.
Menurutnya, kebanyakan kes terdahulu hanya terbatas kepada litigasi sivil semata-mata.
Pada tahun 2023, sebuah mahkamah di Seoul memerintahkan Korea Utara membayar 50 juta won (RM154,893) kepada tiga lelaki Korea Selatan yang dipaksa bekerja semasa menjadi tahanan perang dalam Perang Korea.
Pada tahun berikutnya, mahkamah turut memerintahkan kerajaan Korea Utara membayar 100 juta won (RM309,795) kepada lima pelarian etnik Korea dari Jepun yang dihantar ke Pyongyang pada era 1960-an dan 1980-an di bawah satu program penghantaran pulang.
Mereka mendakwa diperdaya dengan janji kehidupan ‘syurga di bumi’ tetapi sebaliknya ditahan dan dipaksa bekerja.
Korea Utara tidak memberi sebarang maklum balas terhadap kedua-dua saman tersebut.
Namun menurut Song, keputusan mahkamah itu memberi penutup yang sangat diperlukan oleh para mangsa.
“Apa yang kami pelajari selama bertahun-tahun dalam memperjuangkan akauntabiliti ialah mangsa sebenarnya tidak hanya mahukan pampasan kewangan tetapi mereka mahukan pengiktirafan.
“Mendapat keputusan mahkamah yang memihak kepada mereka membawa makna yang besar. Ia menyatakan kisah mereka tidak berakhir begitu sahaja, malah diiktiraf oleh negara dan direkodkan secara rasmi dalam sejarah,” tambah beliau.











