LONDON: Sebuah parti pembangkang kecil di Parlimen Britain pada Ahad mengugut untuk membentangkan undang-undang bagi mengiktiraf kenegaraan Palestin dan memaksa undian sekiranya Perdana Menteri, Keir Starmer terus menentang langkah tersebut.
Parti Kebangsaan Scotland (SNP) yang memperjuangkan kemerdekaan Scotland menyatakan mereka akan membentangkan Rang Undang-Undang Pengiktirafan Palestin apabila Parlimen bersidang semula selepas cuti musim panas, jika Starmer tidak mengubah pendiriannya.
Starmer sebelum ini menyatakan komitmen untuk mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara, namun menegaskan ia perlu menjadi sebahagian daripada proses damai di Asia Barat.
Ancaman daripada SNP itu dibuat selepas lebih 220 ahli Parlimen Britain termasuk puluhan daripada parti pemerintah pimpinan Starmer, pada Jumaat lalu menggesa kerajaan United Kingdom (UK) supaya mengikuti jejak langkah Perancis dan mengiktiraf kenegaraan Palestin.
Gesaan itu dibuat menerusi sepucuk surat yang ditandatangani oleh ahli Parlimen daripada sembilan parti politik UK, kurang 24 jam selepas Presiden Perancis, Emmanuel Macron mengumumkan negaranya akan secara rasmi mengiktiraf negara Palestin dalam satu mesyuarat Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) pada September ini.
“Melainkan Starmer berhenti menghalang pengiktirafan UK terhadap Palestin, SNP akan memperkenalkan Rang Undang-Undang Pengiktirafan Palestin apabila Parlimen kembali bersidang pada September dan akan memaksa satu undian jika perlu.
“Keir Starmer mesti berhenti mempertahankan perkara yang tidak dapat dipertahankan dan akhirnya menunjukkan keberanian dengan mendesak Israel untuk menamatkan perang sekarang,” kata Ketua SNP di Parlimen UK, Stephen Flynn.
Sekiranya Perancis secara rasmi mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara, ia akan menjadi negara G7 pertama dan negara Eropah paling berpengaruh setakat ini yang mengambil langkah tersebut.-AFP










