BANGKOK: Perdana Menteri Thailand, Paetongtarn Shinawatra dikhuatiri berdepan nasib serupa seperti bapa dan ibu saudaranya yang digulingkan melalui rampasan kuasa tentera selepas penunjuk perasaan antikerajaan berikrar memperhebatkan desakan beliau meletak jawatan.
Penunjuk perasaan yang diketuai oleh kumpulan United Power of the Land to Protect Sovereignty membuat ikrar tersebut selepas menerima sokongan di luar jangkaan ketika protes di Tugu Peringatan Kemenangan di Bangkok Sabtu lalu.
Penganjur perhimpunan itu turut menggesa penunjuk perasaan berhimpun semula di Jambatan Chamai Maruchet bersama kumpulan Network of Students and People for Reform of Thailand (NSPRT) yang sudah mendirikan khemah di kawasan tersebut.
Bagaimanapun kumpulan itu menafikan dakwaan Parti Pheu Thai dan Parti Rakyat yang mereka menyokong rampasan kuasa tentera.
Perhimpunan itu bertujuan memberi tekanan kepada Paetongtarn supaya berundur susulan rakaman audio perbualan beliau dengan Presiden Senat Kemboja, Hun Sen yang bocor baru-baru ini.
Kumpulan itu juga menuntut semua parti gabungan menarik diri daripada kerajaan.
Mereka menolak rancangan kerajaan membuka kasino, projek mega jambatan darat serta cadangan skim pajakan tanah selama 99 tahun kepada warga asing.
Gerakan ini turut menggesa Perlembagaan baharu digubal oleh rakyat, tanpa campur tangan jawatankuasa dilantik kerajaan malah, menyeru penyokong supaya bersiap sedia meneruskan demonstrasi sekiranya tiada perubahan menjelang 1 Julai.
Tokoh veteran demonstrasi, Sondhi Limthongkul menegaskan tidak mahu situasi menjadi parah hingga menyebabkan rampasan kuasa, namun beliau tidak akan membantah jika tentera bertindak.
Jurucakap kerajaan, Jirayu Houngsub berkata, kerajaan mengecam sebarang seruan ke arah rampasan kuasa.
Parti Rakyat turut mengecam usaha rampasan kuasa dan menyeru rakyat pertimbangkan semula sokongan mereka.










