Menteri Russia baru dipecat Putin ditemui mati

Menteri Russia baru dipecat Putin ditemui mati

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MOSCOW: Bekas Menteri Pengangkutan Russia, Roman Starovoit ditemukan mati dengan kesan tembakan yang dipercayai dilakukan sendiri, menurut kenyataan Jawatankuasa Penyiasatan Russia.

Starovoit yang baru sahaja dipecat oleh Presiden, Vladimir Putin pada Isnin, dilaporkan meninggal dunia tidak lama selepas pemecatannya diumumkan.

Tiada sebab rasmi diberikan atas pemecatannya dan Timbalan Menteri Pengangkutan, Andrei Nikitin  diumumkan sebagai pengganti sejurus selepas itu.

Jawatankuasa Penyiasatan memaklumkan siasatan sedang dijalankan untuk mengenal pasti punca sebenar kejadian.

Starovoit dilantik sebagai Menteri Pengangkutan pada Mei 2024 selepas berkhidmat hampir enam tahun sebagai Gabenor Wilayah Kursk.

Wilayah tersebut pernah dikuasai sebahagiannya oleh tentera Ukraine dalam serangan mengejut pada Ogos 2024, sebelum pasukan Russia berjaya mengusir mereka beberapa bulan kemudian.

Namun, pada hujung Jun, Kyiv mendakwa masih menguasai sebahagian kecil wilayah di dalam Russia.

Pengganti Starovoit di Kursk, Aleksey Smirnov hanya memegang jawatan untuk tempoh singkat sebelum ditangkap pada April lalu atas dakwaan menyeleweng dana yang diperuntukkan untuk pembinaan kubu pertahanan di sempadan Ukraine.

Laporan daripada media tempatan, Kommersant, mendakwa Starovoit juga hampir didakwa dalam kes penyelewengan yang sama.

Tarikh sebenar kematian Starovoit masih belum dipastikan.

Jurucakap Kremlin, Dmitry Peskov turut menolak dakwaan pemecatan itu menunjukkan Putin telah hilang kepercayaan terhadap Starovoit berhubung peristiwa di Kursk dalam satu sidang media pada pagi Isnin sebelum berita kematian beliau diumumkan.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN