WASHINGTON: Majoriti rakyat Amerika Syarikat (AS) menolak usaha pentadbiran Presiden, Donald Trump memperhebat program pengusiran pendatang tanpa izin, menyifatkan tindakan yang dilakukan terhadap migran kini semakin keterlaluan.
Berdasarkan tinjauan terkini yang dijalankan CNN dengan kerjasama Social Science Research Solutions (SSRS), lebih 55 peratus responden berpendapat Trump melampaui batas dalam melaksanakan dasar pengusiran pendatang yang tinggal di AS secara haram, meningkat sebanyak 10 mata peratusan sejak Februari.
Dalam kalangan penyokong Parti Demokrat, penentangan terhadap dasar itu mencapai 90 peratus sementara 15 peratus penyokong Republikan menyatakan perkara sama.
Lebih 57 peratus rakyat AS turut menolak rancangan membina pusat tahanan baharu bagi menempatkan sehingga 100,000 pendatang tanpa dokumen.
Sekitar 53 peratus responden juga menentang cadangan peningkatan perbelanjaan berbilion dolar untuk agensi Imigresen dan Kastam (ICE), dua keutamaan utama dalam rang undang-undang imigresen besar-besaran yang ditandatangani Trump baru-baru ini.
Malah, nisbah enam daripada 10 responden membantah keras usaha menamatkan hak kerakyatan automatik kepada bayi yang lahir di AS daripada ibu bapa tanpa dokumen sah ketika mahkamah masih menyemak perintah eksekutif Trump.
Hanya 46 peratus percaya dasar imigresen Trump menjadikan negara lebih selamat, manakala 42 peratus yakin kerajaan Persekutuan mematuhi undang-undang dalam proses pengusiran.
Tinjauan juga mendapati 59 peratus rakyat membantah penahanan pendatang tanpa dokumen yang sudah lama menetap di AS tetapi tidak mempunyai rekod jenayah.
Data CNN menunjukkan majoriti individu yang ditahan ICE dari Oktober hingga Mei lalu jelas tidak mempunyai rekod jenayah yang serius.










