LONDON: Sebuah potret minyak pemimpin kemerdekaan India, Mahatma Gandhi, telah dilelong pada harga 152,800 pound (RM925,000) dalam satu acara lelongan di London, semalam.
Harga itu jauh melebihi jangkaan awal pihak lelongan Bonhams, yang sebelum ini menganggarkan karya tersebut hanya akan terjual antara 50,000 pound (RM 247,031) hingga 70,000 pound (RM 345,850).
Potret berkenaan dilukis oleh artis Britain, Clare Leighton, pada tahun 1931 ketika Gandhi melakukan lawatan ke London bagi menghadiri Persidangan Meja Bulat Kedua, pertemuan penting untuk membincangkan reformasi perlembagaan India dan tuntutan pemerintahan sendiri.
Menurut Bonhams, potret tersebut dipercayai satu-satunya potret minyak yang Gandhi pernah duduk khas untuk dilukis, menjadikannya karya seni yang amat jarang ditemui.
“Clare Leighton merupakan antara segelintir artis yang diberikan peluang untuk masuk ke pejabat Gandhi dan melukis gambaran wajah beliau secara langsung dalam beberapa sesi,” kata kenyataan Bonhams.
Gandhi dikenali sebagai pemimpin pergerakan penentangan tanpa kekerasan terhadap penjajahan British di India, dan ajarannya terus menjadi inspirasi kepada jutaan manusia di seluruh dunia.
Di India, beliau digelar sebagai “Bapa Kemerdekaan”.
Potret berkenaan disimpan dalam koleksi peribadi Clare Leighton sehingga beliau meninggal dunia di Amerika Syarikat (AS) pada tahun 1989.
Selepas itu, karya tersebut diwarisi oleh ahli keluarganya.
Bonhams bagaimanapun tidak mendedahkan identiti pembeli potret itu dan masih belum jelas sama ada ia akan dipamerkan kepada umum. —AGENSI









