Larangan telefon pintar di sekolah Belanda bantu tingkat fokus murid

Larangan telefon pintar di sekolah Belanda bantu tingkat fokus murid

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

AMSTERDAM: Langkah melarang penggunaan telefon pintar dan peranti elektronik lain di sekolah-sekolah di Belanda berjaya menunjukkan kesan positif terhadap tumpuan pelajar, menurut satu kajian yang dijalankan atas permintaan kerajaan negara itu.

Daripada 317 buah sekolah menengah yang terlibat dalam tinjauan tersebut, tiga perempat melaporkan larangan itu telah meningkatkan tahap kepekaan pelajar dalam bilik darjah.

Selain itu, hampir dua pertiga sekolah menyatakan suasana sosial dalam kalangan pelajar turut bertambah baik.

Satu pertiga lagi turut melihat peningkatan dalam prestasi akademik pelajar.

“Kurang gangguan, lebih tumpuan terhadap pengajaran, dan pelajar menjadi lebih bijak bersosial.

“Larangan telefon pintar di dalam kelas jelas memberi kesan positif yang sangat baik.

“Saya bangga melihat sekolah-sekolah bersungguh-sungguh melaksanakan dasar ini,” kata Setiausaha Negara Pendidikan Rendah dan Menengah, Marielle Paul.

Larangan berkenaan mula berkuat kuasa pada 1 Januari 2024 dan turut terpakai di peringkat sekolah rendah.

Namun, kajian mendapati impaknya di sekolah rendah adalah minimum kerana kebanyakan murid hanya mula membawa telefon ke sekolah pada tahun-tahun akhir persekolahan.

Kebanyakan sekolah masih membenarkan pengecualian bagi peranti yang diperlukan untuk tujuan perubatan seperti alat bantuan pendengaran yang disambungkan kepada peranti mudah alih.

Langkah ini dilihat sebagai satu usaha tegas kerajaan Belanda dalam memastikan suasana pembelajaran yang lebih kondusif dan membentuk generasi pelajar yang lebih berdisiplin serta fokus terhadap pelajaran. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN