Kim Jong-un ikrar sokongan penuh kepada Russia dalam perang Ukraine - Utusan Malaysia

Kim Jong-un ikrar sokongan penuh kepada Russia dalam perang Ukraine

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PYONGYANG: Pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un menegaskan komitmen negaranya untuk memberi sokongan tanpa syarat terhadap semua tindakan yang diambil oleh Russia dalam usaha menyelesaikan konflik di Ukraine, menurut laporan media rasmi Korea Utara pada Ahad.

Kenyataan itu dibuat ketika Jong-un bertemu dengan Menteri Luar Russia, Sergei Lavrov yang sedang dalam lawatan rasmi selama tiga hari ke Korea Utara.

Negara itu sebelum ini telah menghantar tentera dan senjata untuk membantu Russia dalam perang Ukraine dan berjanji untuk menambah sokongan ketenteraan dalam usaha Moscow mencapai kemenngan di medan perang.

Pertemuan tersebut berlangsung di bandar pantai timur Wonsan, di mana menteri luar kedua-dua negara turut mengadakan dialog strategik kedua berdasarkan perjanjian kerjasama yang ditandatangani tahun lalu, termasuk pakatan pertahanan bersama.

Menurut agensi berita KCNA, Jong-un menyatakan langkah-langkah yang diambil oleh kedua-dua negara dalam menghadapi perubahan geopolitik global yang pesat akan memberi sumbangan besar kepada keamanan dan keselamatan dunia.

“Jong-un menegaskan sekali lagi Republik Demokratik Rakyat Korea bersedia menyokong dan menggalakkan secara tanpa syarat segala langkah yang diambil oleh kepimpinan Russia dalam usaha menangani punca sebenar krisis Ukraine,” lapor KCNA.

Lavrov juga mengadakan perbincangan dengan rakan sejawatnya dari Korea Utara, Choe Son-hui, dan mereka mengeluarkan kenyataan bersama yang menegaskan komitmen untuk mempertahankan kedaulatan dan integriti wilayah masing-masing.

Media Russia pada Sabtu melaporkan Lavrov menyifatkan hubungan antara Russia dan Korea Utara sebagai ‘persaudaraan perjuangan yang tidak dapat dikalahkan’ semasa pertemuannya dengan Kim, dan mengucapkan terima kasih atas penghantaran tentera ke Russia.

Hubungan antara kedua-dua negara telah berkembang pesat sejak dua tahun lalu sejak bermulanya perang di Ukraine pada Februari 2022. Pyongyang dilaporkan telah menghantar lebih 10,000 anggota tentera dan bekalan senjata ke Russia sebagai sokongan kepada kempen ketenteraan Moscow.

Kerajaan Jong-un turut berjanji menghantar kira-kira 6,000 jurutera dan pekerja pembinaan tentera ke wilayah Kursk di Russia untuk membantu kerja-kerja pemulihan dan pembangunan semula. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN