TURNBERRY: Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump pada Isnin menetapkan tempoh baharu selama 10 hingga 12 hari kepada Russia untuk menunjukkan kemajuan dalam usaha menamatkan perang di Ukraine atau berdepan tindakan tegas.
Keputusan itu sekali gus menzahirkan rasa kecewanya terhadap Presiden Russia, Vladimir Putin berikutan konflik yang telah berlarutan selama lebih tiga tahun setengah.
Trump turut mengancam mengenakan sekatan terhadap Russia dan juga pembeli eksport negara itu sekiranya tiada sebarang perkembangan positif.
Bercakap di Scotland semasa pertemuan dengan pemimpin-pemimpin Eropah, Trump menyatakan kekecewaannya terhadap Putin dan memendekkan tempoh 50 hari yang ditetapkannya sebelum ini.
“Saya akan tetapkan tarikh akhir baharu, kira-kira 10 atau 12 hari dari hari ini (semalam).
“Tiada sebab untuk menunggu, kita tidak melihat sebarang kemajuan dicapai,” kata Trump kepada media semasa bertemu dengan Perdana Menteri Britain, Keir Starmer.
Dalam satu hantaran di platform X, bekas Presiden Russia yang juga sekutu rapat Putin, Dmitry Medvedev menyifatkan tindakan Trump sebagai permainan ultimatum yang boleh mencetuskan peperangan melibatkan AS sendiri.
“Tiap-tiap ultimatum baharu adalah satu ancaman dan satu langkah ke arah perang.
“Bukan hanya antara Russia dan Ukraine, tetapi dengan negara (AS) sendiri,” tulis Medvedev.
Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky pula memuji kenyataan Trump yang disifatkan sebagai amat signifikan dan tepat pada masanya dalam usaha mencari penyelesaian damai.
“Pendekatan yang jelas dan ketegasan yang ditunjukkan oleh @POTUS hadir tepat pada masa, ketika banyak perkara boleh berubah melalui kekuatan demi keamanan sebenar.
“Saya berterima kasih kepada Presiden Trump atas tumpuannya dalam menyelamatkan nyawa dan menghentikan perang dahsyat ini,” tulis Zelensky di X.
Zelensky turut menyatakan Ukraine menyokong sekatan yang lebih keras sebagai elemen utama untuk menamatkan perang.
“Russia mengambil berat terhadap sekatan dan kerugian yang ditanggung akibatnya,” tambah beliau. – AGENSI










