ANKARA: Beberapa kebakaran hutan besar dilaporkan tercetus di beberapa negara Eropah termasuk Turkiye, Perancis dan Greece susulan cuaca panas melampau dan keadaan kering yang berpanjangan.
Di Turkiye, pihak berkuasa memaklumkan seorang lagi anggota perhutanan maut akibat kecederaan ketika bertugas memadam kebakaran di wilayah Izmir.
Kes itu menjadikan jumlah korban kebakaran di kawasan kira-kira 100 kilometer dari pusat peranginan Izmir meningkat kepada tiga orang, termasuk seorang lelaki warga emas berusia 81 tahun dan seorang lagi anggota perhutanan berusia 39 tahun yang maut pada Khamis lalu.
Sementara itu, di Perancis, perkhidmatan kaji cuaca negara, Meteo-France mengesahkan gelombang haba yang melanda negara itu sejak 19 Jun tamat secara rasmi pada Jumaat lalu setelah berlarutan selama 16 hari, bersamaan gelombang haba maut pada tahun 2003.
Namun, pada hari yang sama, kebakaran besar pertama musim panas tercetus di selatan Perancis, termasuk di kawasan Bouches-du-Rhone dan Herault.
Kejadian tersebut memaksa penutupan sebahagian lebuh raya utama A9 pada hujung minggu pertama cuti musim panas.
Kesibukan lalu lintas menyebabkan kesesakan sejauh 10 kilometer di kedua-dua arah, dan pihak berkuasa terpaksa mengagihkan air minuman kepada para pemandu yang terkandas di bawah terik matahari.
Di Greece, seorang lelaki berusia 52 tahun ditahan di pulau Evia kerana disyaki menyebabkan kebakaran yang memusnahkan sebahagian kawasan pulau tersebut antara malam Jumaat dan pagi Sabtu lalu.
Menurut penyiar nasional ERT, suspek dipercayai sedang membersihkan semak di atas sebidang tanah sebelum api mula marak dan tidak dapat dikawal.
Pasukan bomba Greece masih diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga tinggi sejak Sabtu, susulan cuaca panas dan angin kencang yang terus melanda seluruh negara.
Pihak berkuasa di ketiga-tiga negara memberi amaran risiko kebakaran kekal tinggi dalam minggu-minggu mendatang sekiranya cuaca panas dan kering berterusan. -AFP









