‘Kami seperti adik-beradik, mengapa perlu berperang?’

‘Kami seperti adik-beradik, mengapa perlu berperang?’

WARGA emas yang dipindahkan akibat konflik berterusan antara Thailand dan Kemboja berehat di pusat pemindahan di wilayah sempadan Si Sa Ket.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANTHARAROM: Penduduk awam yang melarikan diri dari Thailand dan Kemboja menggambarkan jiran rentas sempadan mereka seperti adik-beradik dan rakan, dengan seruan damai bergema di sebalik dentuman artileri dan jet pejuang.

Perkara itu diluahkan penduduk di sekitar kawasan sempadan yang terpaksa menjadi pelarian selepas pertempuran kembali tercetus Khamis lalu. 

“Hubungan sebelum ini baik, kami seperti adik-beradik. Tetapi sekarang mungkin keadaan sudah berubah.

“Saya hanya mahu pertempuran ini berakhir supaya kami boleh kembali menjadi seperti adik-beradik,” kata warga Thailand, Sai Boonrod, 56, yang berlindung di sebuah kuil di bandar Kanthararom selepas berpindah dari kampungnya yang terletak berhampiran sempadan.

Di seberang sempadan Kemboja, suasana serupa dapat dilihat apabila ratusan pelarian berteduh di khemah-khemah sementara di kawasan kuil, dikelilingi bekalan makanan kecemasan dan pakaian yang dikemaskan secara tergesa-gesa.

“Kami jiran, kami mahu menjadi rakan. Tetapi mereka menyerang kami. Kami terpaksa lari meninggalkan rumah kerana mereka,” kata seorang lelaki berusia 50 tahun yang enggan dikenal pasti ketika ditemui di tempat perlindungan kuil di Phumi Bak Thkav.

Pertempuran paling dahsyat sebelum ini berlaku antara 2008 hingga 2011, mengorbankan sekurang-kurangnya 28 orang.

Namun Boonrod berkata, ketegangan yang sering tercetus tidak pernah seteruk ini.

Boonrod merupakan antara lebih 170,000 orang yang dipindahkan dari zon sempadan, namun suaminya kekal di tempat tinggal mereka untuk membantu menjaga ternakan dan harta benda jiran di sekitarnya.

“Saya mahu mereka berunding, hentikan tembakan dengan segera supaya warga emas boleh pulang dan kanak-kanak boleh kembali ke sekolah,” katanya.

Ketegangan terus memuncak di sempadan Thailand-Kemboja, apabila kedua-dua negara saling menuduh melancarkan serangan artileri.

Kemboja mendakwa Thailand memulakan serangan pada awal pagi Ahad dan pasukan tenteranya dikerahkan di sepanjang sempadan.

Thailand pula mendakwa, tindakannya adalah sebagai respons terhadap serangan dari Kemboja.

Serangan itu berlaku hanya beberapa jam selepas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengumumkan pemimpin kedua-dua negara bersetuju untuk bekerjasama ke arah gencatan senjata.

Kemboja menyatakan sokongan penuh terhadap gesaan Trump untuk menghentikan serangan serta-merta.

Namun, Thailand menegaskan rundingan tidak dapat dimulakan selagi Kemboja terus menyasarkan penduduk awamnya, dakwaan yang dinafikan oleh Phnom Penh.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN