Kajian dedah kunyit mampu cegah kanser usus

Kajian dedah kunyit mampu cegah kanser usus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Menambah kunyit dalam pemakanan harian mungkin mampu membantu mencegah penyakit kanser usus, menurut penemuan terbaharu oleh sekumpulan penyelidik dari Universiti Leicester.

Kajian itu mendapati kurkumin iaitu sebatian aktif yang memberi warna jingga terang kepada kunyit berupaya menyekat pertumbuhan sel kanser pada peringkat awal, sekali gus berpotensi menghalang pembentukan tumor dalam usus besar.

Menurut para saintis, kurkumin bertindak dengan menyekat protein utama yang digunakan oleh sel-sel kanser untuk merebak.

Dalam ujian makmal, mereka mendapati bahan tersebut boleh menghentikan pertumbuhan sel-sel kanser jenis ‘stem-like’, iaitu sel yang dipercayai bertanggungjawab terhadap kemunculan dan pengulangan semula tumor.

Penemuan ini diterbitkan dalam jurnal Cancer Letters, dan menunjukkan kurkumin berperanan menukar sel kanser tersebut kepada keadaan yang lebih lemah dan tidak agresif.

“Ini memberi harapan bahawa kunyit suatu hari nanti dapat dijadikan sebahagian daripada strategi pencegahan kanser usus, terutamanya bagi golongan berisiko tinggi,” kata pasukan penyelidik.

Mereka turut menjalankan ujian terhadap tikus makmal yang dijangkiti sel kanser secara sengaja, dan mendapati kurkumin memperlahankan pertumbuhan tumor serta memanjangkan jangka hayat haiwan tersebut.

Dos harian yang setara untuk manusia dianggarkan sekitar 1.5 hingga 2 gram kurkumin namun, memandangkan serbuk kunyit hanya mengandungi sekitar dua hingga lima peratus kurkumin secara berat, seseorang perlu mengambil antara 40 hingga 100 gram kunyit sehari bagi mendapatkan jumlah kurkumin tulen tersebut.

Oleh itu, kebanyakan kajian menggunakan suplemen kurkumin yang lebih pekat, kerana kuantiti tersebut sukar diperoleh daripada pemakanan biasa.

Kunyit telah lama digunakan dalam masakan Asia Selatan, Asia Tenggara dan Asia Barat, serta dianggap sebagai makanan super yang kaya dengan khasiat perubatan.

Sebelum ini, beberapa kajian turut mengaitkan kunyit dengan kelegaan terhadap kesakitan, termasuk dalam rawatan arthritis lutut.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN