OSAKA: Ketika suhu musim panas di Osaka, Jepun melonjak menghampiri 100 darjah Celsius, para petugas di Ekspo 2025 tampil dengan pendekatan unik bagi menangani bahang keterlaluan dengan memakai jaket serbaguna yang dikuasakan oleh tenaga solar.
Jaket canggih tersebut dibangunkan oleh syarikat kumpulan Toyota, Toyoda Gosei dengan kerjasama syarikat teknologi sel suria baharu, Enecoat Technologies serta pengeluar tekstil Seiren.
Ia dilengkapi panel suria ultra nipis dan fleksibel seberat kurang empat gram lebih ringan daripada sehelai kertas yang berfungsi menjana tenaga bagi menggerakkan kipas leher untuk menyejukkan pemakainya.
Tidak seperti panel silikon biasa yang digunakan di atas bumbung atau ladang tenaga solar, panel ini diperbuat daripada perovskite, iaitu sejenis hablur dengan struktur unik yang semakin mendapat tempat dalam teknologi tenaga boleh diperbaharui.
Menurut Pengarah Toyoda Gosei, Shinichiro Fuki, panel perovskite itu bukan sahaja lebih ringan dan murah untuk dihasilkan, malah mampu menyerap spektrum cahaya yang lebih luas termasuk inframerah.
“Panel ini boleh dicas walaupun dalam keadaan redup, hujan atau mendung,” jelas beliau.
Kini, keberkesanan sebenar teknologi ini sedang diuji dalam pelbagai keadaan cuaca di Ekspo 2025, termasuk prestasi bateri mudah alih yang digunakan bersamanya.
Fuki menyifatkan usaha ini sebagai inisiatif pertama di dunia mengintegrasikan sel suria perovskite ke dalam pakaian.
Jepun kini melabur besar dalam teknologi ini bagi mencapai matlamat menjana 20 gigawatt tenaga solar menjelang 2040 bersamaan kuasa 20 loji janakuasa nuklear sejajar dengan kedudukannya sebagai pengeluar kedua terbesar iodin dunia, bahan utama dalam penghasilan perovskite. -AGENSI










