GAZA: Pasukan keselamatan Israel telah memintas kapal Handala yang membawa bantuan kemanusiaan dan aktivis ke Gaza, kira-kira 70 batu nautika dari destinasi asalnya.
“Penjajah telah mematikan kamera kami dan semua komunikasi telah terputus,” kata jurucakap Gabungan Freedom Flotilla (FFC) kepada CNN menerusi satu mesej.
Satu siaran langsung di YouTube menunjukkan anggota bersenjata menaiki kapal tersebut, manakala aktivis di atas dek yang semuanya memakai jaket keselamatan mengangkat tangan sebagai tanda menyerah diri.
Seorang anggota yang memakai topi keledar dilihat mengalih kamera yang sedang menyiarkan siaran langsung itu sebelum ia terhenti.
Kementerian Luar Israel mengesahkan dalam satu kenyataan di platform X, tentera laut Israel telah menghentikan kapal Navarn iaitu nama asal Handala daripada memasuki zon maritim pesisir Gaza secara haram.
“Kapal tersebut kini dalam perjalanan dengan selamat ke pantai Israel. Semua penumpang berada dalam keadaan selamat.
“Cubaan tanpa kebenaran untuk memecahkan sekatan adalah berbahaya, menyalahi undang-undang dan menjejaskan usaha kemanusiaan yang sedang berlangsung,” menurut kenyataan itu lagi.
Menurut FFC, antara penumpang kapal ialah dua ahli Parlimen dari Perancis dan Eropah serta Christian Small, seorang aktivis kesatuan sekerja dari Amerika Syarikat (AS).
“Kapal tanpa senjata itu membawa bekalan penting untuk menyelamatkan nyawa apabila ia diceroboh oleh tentera Israel, penumpangnya diculik dan muatannya dirampas,” kata FFC dalam kenyataan sejurus selepas siaran langsung terhenti.
Kenyataan itu turut menyebut muatan kapal termasuk susu formula bayi, lampin, makanan dan ubat-ubatan.
Beberapa jam sebelum kapal itu dipintas, FFC dalam satu kenyataan menyatakan Handala sedang mengubah haluan ke arah Mesir dalam usaha mengelak daripada digeledah.
Terdahulu pada malam Sabtu, kru kapal Handala dilihat memakai jaket keselamatan berkilat selepas sukarelawan dari Australia, Tania Safi, memberitahu CNN menerusi nota suara, kapal tersebut sedang dikelilingi oleh dron Heron milik Israel.
“Semua yang berada di sini sudah bersedia menghadapi hampir semua kemungkinan tindakan yang boleh dilakukan oleh Israel.
“Jika mereka memintas kami, ia adalah satu pelanggaran terhadap undang-undang maritim antarabangsa,” kata Safi, petang semalam.










