Ibu kecewa anak tukar durian dibeli untuk methamphetamine

Ibu kecewa anak tukar durian dibeli untuk methamphetamine

IMEJ menunjukkan dua biji durian yang dibeli seorang wanita untuk anaknya sebelum ia ditukar dengan dadah. – AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SA KAEO: Seorang ibu di wilayah Isaan, Thailand merayu pihak berkuasa menahan anak kandungnya sendiri selepas remaja itu menukar durian yang dibelinya untuk dadah jenis Yaba, atau methamphetamine.

Kejadian tersebut tular selepas wanita terbabit memuat naik luahan hatinya menerusi Facebook pada 17 Jun lalu, disertakan gambar dua biji durian dan sebungkus makanan yang dibeli untuk anaknya.

“Saya risau anak saya lapar, jadi saya belikan makanan ini untuk dia. Tapi dia tak makan pun. Dia tukarkan semuanya dengan pil Yaba di rumah Sao. Polis, tolong tahan anak saya. Kalau tak, datanglah kutip mayat saya nanti,” tulis wanita itu dalam nada kecewa.

Individu bernama Sao yang disebut dalam hantaran itu dipercayai merupakan pengedar dadah di kawasan berkenaan.

Luahan tersebut mendapat simpati dan sokongan daripada rakan-rakannya yang turut mencadangkan agar dia membuat laporan kepada pihak berkuasa tempatan namun, wanita itu memaklumkan dia telah pun membuat aduan kepada semua agensi berkaitan tetapi tiada tindakan diambil.

Bagaimanapun, kisahnya akhirnya menarik perhatian Pejabat Daerah Khao Chakan yang bertindak segera menahan suspek pengedar dadah, Sao Praditsri, 30, pada 29 Jun lalu.

Menurut laporan media tempatan ThaiRath, Sao diberkas ketika dalam perjalanan bersama beberapa rakan sekerja ke tempat kerja mereka di sebuah jeti di wilayah Chon Buri dan hasil pemeriksaan menemui 90 biji pil Yaba yang disorokkan dalam botol ubat, selain beberapa bungkusan mi segera dan pembalut coklat.

Sao kemudiannya dibawa ke Hospital Khao Chakan untuk menjalani ujian air kencing dan didakwa mengikut Seksyen 145 Akta Kawalan Narkotik kerana memiliki dadah Kategori 1 untuk pengedaran, kesalahan yang boleh dipenjara dua hingga 20 tahun serta denda antara 200,000 hingga dua juta baht.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN