Hamas teliti cadangan gencatan senjata diumum Trump - Utusan Malaysia

Hamas teliti cadangan gencatan senjata diumum Trump

PENDUDUK Palestin berkumpul mendapatkan makanan yang dimasak di pusat pengedaran amal di Jabalia, utara Gaza. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KAHERAH: Hamas pada Rabu mengesahkan sedang meneliti cadangan gencatan senjata terbaharu yang digelar sebagai tawaran akhir oleh Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump, namun menegaskan bahawa penarikan keluar tentera Israel dari Gaza adalah syarat utama untuk sebarang perjanjian damai.

Trump pada Selasa berkata Israel telah bersetuju dengan syarat yang diperlukan bagi memuktamadkan gencatan senjata selama 60 hari dengan Hamas selepas pertemuan yang disifatkannya sebagai panjang dan produktif antara wakil AS dan pegawai kanan Israel.

Dalam kenyataan rasminya, Hamas memaklumkan bahawa mereka sedang mengkaji tawaran baharu yang dikemukakan oleh dua pihak perantara utama, Mesir dan Qatar namun menegaskan bahawa matlamat utama adalah menamatkan peperangan dan memastikan Israel berundur sepenuhnya dari Gaza.

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu pula tampil dengan kenyataan tegas bahawa Hamas akan dihapuskan sepenuhnya.

“Tidak akan ada lagi Hamas. Tidak akan ada lagi Hamastan. Kita tidak akan kembali ke keadaan itu, ia sudah berakhir,” kata Netanyahu dalam sebuah majlis yang dianjurkan oleh syarikat saluran paip Trans-Israel.

Kenyataan daripada kedua-dua pihak dilihat mengulangi pendirian lama mereka tanpa memberi petunjuk jelas sama ada kompromi boleh dicapai. Namun, kenyataan Trump tetap memberi sedikit sinar harapan kepada penduduk Gaza yang telah menderita hampir dua tahun akibat konflik.

“Saya harap ia menjadi kenyataan kali ini, walaupun hanya untuk dua bulan, ia akan menyelamatkan ribuan nyawa yang tidak bersalah,” kata Kamal, penduduk Gaza City ketika dihubungi melalui telefon.

Namun, ada juga yang ragu-ragu dengan kenyataan Trump dengan mengatakan ini bukan kali pertama beliau mendakwa perjanjian damai sudah hampir.

“Kami harap dia benar-benar serius seperti ketika perang Israel-Iran dahulu. Dia kata perang perlu dihentikan dan ia benar-benar berhenti,” kata Adnan Al Assar, penduduk Khan Younis di selatan Gaza.

Sementara itu, tekanan awam terhadap Netanyahu semakin meningkat agar beliau mencapai gencatan senjata kekal dan menamatkan peperangan berdarah yang sudah berlarutan hampir dua tahun.

Namun usaha itu mendapat tentangan keras daripada ahli gabungan kanan ekstremis dalam pemerintahannya yang menolak sebarang kompromi dengan Hamas.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×