Dunia perlu segera cari pendekatan global kawal selia AI

Dunia perlu segera cari pendekatan global kawal selia AI

ORANG ramai menyaksikan demonstrasi robot melaksanakan tugas dalam pameran sempena Persidangan Kecerdasan Buatan Dunia di Shanghai, kelmarin.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GENEVA: Dunia perlu segera mencari pendekatan global untuk mengawal selia kecerdasan buatan (AI), susulan kebimbangan yang semakin meningkat terhadap potensi penyalahgunaan teknologi itu.

Ketua Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Doreen Bogdan-Martin memberi amaran kegagalan menyatukan usaha antarabangsa boleh meningkatkan risiko keselamatan dan jurang ketidaksamaan.

Bercakap kepada AFP, beliau berharap AI dapat benar-benar memberi manfaat kepada manusia, namun menegaskan perkembangan pesat teknologi tersebut memerlukan tindakan segera serta penyelarasan di peringkat antarabangsa.

“Terdapat keperluan mendesak untuk mewujudkan rangka kerja yang betul,” katanya, sambil menekankan keperluan pendekatan global.

Kenyataan itu dibuat ketika kebimbangan meningkat terhadap risiko yang ditimbulkan AI, termasuk kemungkinan hilang pekerjaan, penyebaran maklumat palsu, kandungan deepfake serta ancaman kepada struktur sosial masyarakat.

Ia juga susulan pengumuman Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, mengenai strategi baharu yang agresif dengan pendekatan kawal selia minimum dalam usaha memastikan AS mendahului China dalam teknologi AI.

Pelan yang merangkumi lebih 90 cadangan itu menekankan kelonggaran peraturan secara menyeluruh, dengan pentadbiran Trump berjanji untuk menghapuskan kerenah birokrasi dan peraturan membebankan, yang boleh menghalang kemajuan sektor swasta dalam AI.

Ketika ditanya sama ada beliau bimbang terhadap strategi AS yang cenderung kepada pendekatan itu, Bogdan-Martin enggan mengulas secara langsung dan masih berusaha memahami pelan tersebut.

“Saya rasa terdapat pelbagai pendekatan berbeza.

“Kita ada pendekatan Kesatuan Eropah (EU), kita ada pendekatan China, dan kini kita melihat AS. Apa yang diperlukan sekarang ialah supaya semua pendekatan ini berdialog,” katanya.

Dalam masa sama, beliau turut menekankan 85 peratus negara masih belum mempunyai dasar atau strategi AI.

Menurutnya, tema konsisten yang sudah wujud dalam strategi AI adalah tumpuan kepada inovasi, pembinaan kapasiti dan pelaburan infrastruktur.

“Tetapi perdebatan yang masih perlu berlaku di peringkat global ialah untuk menentukan sejauh mana peraturan itu perlu, adakah terlalu banyak atau sedikit,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×