Dinasti Shinawatra dirundung ‘badi’ krisis politik

Dinasti Shinawatra dirundung ‘badi’ krisis politik

PAETONGTARN Shinawatra (tengah) dikerumuni media selepas mesyuarat kabinet di Rumah Kerajaan di Bangkok, Thailand. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGKOK: Dinasti politik yang memerintah Thailand berdepan krisis berterusan apabila Mahkamah Perlembagaan menggantung tugas Perdana Menteri, Paetongtarn Shinawatra selepas bersetuju mendengar petisyen dikemukakan sekumpulan senator terhadap beliau.

Petisyen itu memohon beliau disingkirkan kerana melanggar etika menteri semasa pertikaian diplomatik dengan Kemboja.

Paetongtarn akan digantung tugas sehingga mahkamah mengeluarkan keputusan muktamad.

Kes berkenaan berpunca daripada perbualan telefon yang bocor antara Paetongtarn, 38, dan bekas pemimpin berpengaruh Kemboja, Hun Sen pada 15 Jun lalu bagi meredakan ketegangan sempadan antara kedua-dua negara.

Dalam perbualan itu, beliau tunduk kepada Hun Sen dan mengkritik seorang komander tentera Thailand, tindakan yang dianggap melampaui batas dalam sebuah negara.

Tindakan itu dikatakan melanggar etika dan kejujuran ditetapkan oleh Perlembagaan walaupun Paetongtarn kemudian memohon maaf dan menjelaskan kenyataannya adalah strategi rundingan.

Insiden itu turut mencetus kemarahan rakyat dan ketegangan politik dengan parti utama dalam gabungan kerajaan menarik diri dan bakal mengemukakan usul undi tidak percaya di Parlimen tidak lama lagi.

Ribuan penunjuk perasaan berhimpun di Bangkok hujung minggu lalu menuntut peletakan jawatan Paetongtarn.

Krisis terbaharu itu mencerminkan cabaran besar dihadapi Paetongtarn selepas hanya 10 bulan memegang jawatan, tempoh singkat yang dikhuatiri turut mendorong kejatuhan pengaruh Parti

Pheu Thai diasaskan keluarga Shinawatra yang pernah mendominasi politik Thailand sejak 2001.

Paetongtarn, perdana menteri termuda Thailand, menggantikan Srettha Thavisin yang disingkirkan kerana melantik seorang menteri berstatus bekas banduan.

Paetongtarn turut bergelut untuk memulihkan ekonomi embab, malah popularitinya merosot ketara kepada 9.2 peratus menerusi tinjauan pendapat yang dijalankan minggu lalu berbanding 30.9 peratus pada Mac.

Bapanya, Thaksin, turut hadir di Mahkamah Jenayah Bangkok semalam bagi tuduhan melanggar undang-undang lese majeste.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN