BEIJING: China hari ini menyatakan kebimbangan terhadap pertempuran berdarah antara Kemboja dan Thailand.
“Kami amat bimbang dengan perkembangan semasa dan berharap kedua-dua pihak dapat menyelesaikan isu ini dengan sewajarnya melalui dialog dan rundingan.
“Semangat kejiranan yang baik dan pengurusan perbezaan secara berhemah adalah selaras dengan kepentingan asas dan jangka panjang kedua-dua negara,” kata jurucakap Kementerian Luar China, Guo Jiakun.
Kedua-dua negara kini terperangkap dalam pertikaian sengit berhubung kawasan dikenali sebagai Segi Tiga Zamrud, iaitu kawasan sempadan yang mempertemukan Thailand, Kemboja dan Laos, serta menjadi lokasi beberapa kuil purba bersejarah.
Pertikaian ini sudah berlarutan selama beberapa dekad, dan pernah mencetuskan pertempuran berdarah lebih 15 tahun lalu. Ia kembali memuncak pada Mei lalu apabila seorang askar Kemboja terbunuh dalam insiden tembak-menembak.
Konflik kembali memuncak pada Khamis apabila Kemboja melepaskan roket dan tembakan artileri ke arah Thailand, manakala tentera Thailand bertindak balas dengan menghantar jet pejuang F-16 untuk melancarkan serangan udara.
Sekurang-kurangnya 11 orang orang awam terbunuh dan 14 cedera dalam insiden itu.
Kemboja sudah lama menjadi sekutu rapat Beijing dan menerima pelaburan bernilai berbilion dolar dari China.
Namun begitu, Guo menegaskan China akan mengambil ‘pendirian adil dan saksama’ dalam konflik tersebut.










