BOSTON: Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat teknologi data Astronomer, Andy Byron meletak jawatan selepas tular rakaman dirinya bermesra dengan Ketua Sumber Manusia syarikat itu, Kristin Cabot di konsert Coldplay baru-baru ini.
Byron, 50, dilihat dalam paparan ‘kiss cam’ pada malam Selasa lalu dengan tangannya memeluk Cabot ketika persembahan Coldplay di Boston.
Beliau kemudiannya diberi cuti sementara pada Jumaat sebelum secara rasmi meletak jawatan, menurut kenyataan syarikat.
“Astronomer kekal komited terhadap nilai dan budaya yang telah membimbing kami sejak penubuhan syarikat. Pemimpin kami perlu menjadi contoh dari segi kelakuan dan akauntabiliti, dan piawaian itu gagal dipenuhi kebelakangan ini.
“Byron telah menyerahkan surat peletakan jawatannya, dan lembaga telah menerimanya,” menurut kenyataan lembaga pengarah yang dikeluarkan Sabtu lalu.
Pengasas Bersama dan Ketua Produk, Pete DeJoy akan mengambil alih peranan CEO secara interim.
“Walaupun perhatian terhadap syarikat kami berubah sekelip mata, produk serta perkhidmatan kami kepada pelanggan tidak terjejas.
“Kami akan terus menumpukan kepada membantu pelanggan menyelesaikan cabaran data dan kecerdasan buatan mereka,” kata kenyataan syarikat itu.
Insiden itu mencetuskan perhatian apabila kamera acara menayangkan pasangan tersebut di skrin besar, sekali gus mengundang spekulasi kerana kedua-duanya dipercayai sudah berkahwin.
Dokumen awam menunjukkan Cabot masih berkahwin dengan Andrew Cabot, CEO Privateer Rum yang berpangkalan di Massachusetts.’
Sementara itu, isteri Byron, Megan Byron difahamkan telah membuang nama keluarga suaminya daripada akaun media sosial selepas rakaman tular itu. -AGENSI










