Bolsonaro pakai gelang kaki elektronik, dipantau 24 jam

Bolsonaro pakai gelang kaki elektronik, dipantau 24 jam

JAIR BOLSONARO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BRASILIA: Mahkamah Agung Brazil mengenakan beberapa sekatan tegas terhadap bekas Presiden Jair Bolsonaro, termasuk perintah memakai gelang kaki elektronik, larangan keluar rumah pada waktu malam, serta pemantauan berterusan selama 24 jam.

Langkah drastik ini diambil susulan kebimbangan beliau mungkin melarikan diri semasa perbicaraan jenayah yang kini berlangsung.

Perintah tersebut dikeluarkan oleh Hakim Mahkamah Agung, Alexandre de Moraes, yang turut melarang Bolsonaro menggunakan media sosial, berkomunikasi dengan anak lelakinya, Eduardo Bolsonaro, serta berhubung dengan diplomat asing atau mana-mana kedutaan.

Tindakan ini menyusul selepas pihak pendakwa mendakwa Bolsonaro cuba menggagalkan siasatan, melakukan tekanan terhadap institusi kehakiman, serta mengancam kedaulatan negara.

Bolsonaro kini dibicarakan bagi tuduhan merancang rampasan kuasa bagi menghalang Presiden Luiz Inácio Lula da Silva daripada mengambil alih kuasa pada Januari 2023.

Beliau bersama tujuh individu lain berdepan lima pertuduhan berat, termasuk cubaan menggulingkan sistem demokrasi, penyertaan dalam organisasi jenayah bersenjata, serta kerosakan terhadap harta awam dan warisan negara.

Jika didapati bersalah, Bolsonaro, 70, boleh dikenakan hukuman penjara selama beberapa dekad.

Selepas arahan mahkamah dikeluarkan, polis turut menyerbu rumah Bolsonaro dan perkara itu dimaklumkan anak lelakinya menerusi platform X.

Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Marco Rubio pula memaklumkan visa kemasukan hakim-hakim yang terlibat dalam perbicaraan Bolsonaro ke negara itu akan ditarik balik.

Presiden Donald Trump turut mengecam tindakan mahkamah Brazil itu sebagai satu bentuk ‘perburuan politik’, dan mengancam akan mengenakan tarif sebanyak 50 peratus terhadap barangan import dari Brazil bermula 1 Ogos.

Dalam satu surat kepada Bolsonaro, Trump menyatakan sokongan penuh dan menggesa agar perbicaraan terhadap bekas pemimpin itu dihentikan segera.

Sebagai respons, Lula da Silva menyatakan Brazil adalah negara berdaulat dengan institusi kehakiman yang bebas, jadi tiada siapa yang mengatasi undang-undang.

Bolsonaro pula menyifatkan arahan mahkamah sebagai satu penghinaan tertinggi dan menegaskan beliau tidak pernah berhasrat meninggalkan Brazil.

Peguam beliau turut terkejut dan marah terhadap keputusan tersebut, sambil menegaskan bekas presiden itu sentiasa mematuhi perintah mahkamah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN