WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, pada Ahad mengumumkan beliau akan menghantar peluru berpandu pertahanan udara Patriot ke Ukraine.
Trump memaklumkan penghantaran itu diperlukan untuk mempertahankan negara tersebut kerana Presiden Russia, Vladimir Putin enggan menamatkan perang.
Trump tidak menyatakan jumlah sistem Patriot yang akan dihantar, namun menegaskan AS akan dibayar balik sepenuhnya oleh Kesatuan Eropah (EU) bagi kos peluru berpandu tersebut.
Presiden AS itu semakin hilang kepercayaan terhadap Putin kerana pemimpin Rusia itu enggan menerima usaha Trump untuk merundingkan gencatan senjata antara Ukraine dan Rusia.
Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky beberapa kali merayu agar negara-negara sekutu membekalkan lebih banyak sistem pertahanan bagi menangkis serangan peluru berpandu dan dron yang dilancarkan oleh Rusia setiap hari.
“Kita akan hantar Patriot kepada mereka, kerana mereka benar-benar memerlukannya. Putin telah mengejutkan ramai orang. Dia bercakap dengan nada lunak, tetapi mengebom semua orang pada waktu malam. Itu masalahnya, dan saya tak suka perkara itu,” kata Trump kepada wartawan di Pangkalan Tentera Bersama Andrews, di luar Washington.
“Kita pada dasarnya akan menghantar pelbagai peralatan ketenteraan berteknologi tinggi. Mereka akan membayar kita 100 peratus untuk itu, dan itulah cara kita mahukannya,” tambah beliau.
Trump dijadualkan bertemu Setiausaha Agung NATO, Mark Rutte, minggu ini bagi membincangkan rancangannya untuk menjual senjata buatan AS kepada negara-negara sekutu NATO, yang kemudiannya boleh disalurkan kepada Ukraine.
Rutte akan berada di Washington pada Isnin dan Selasa, dan dijadualkan mengadakan perbincangan dengan Trump, Setiausaha Negara Marco Rubio, Setiausaha Pertahanan Pete Hegseth, serta beberapa ahli Kongres.









