Baidu kerjasama dengan Uber, bakal lancar teksi pandu sendiri

Baidu kerjasama dengan Uber, bakal lancar teksi pandu sendiri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BEIJING: Gergasi teknologi China, Baidu, mengumumkan rancangan melancarkan kereta pandu sendiri menerusi aplikasi e-hailing Uber di Asia dan Asia Barat pada tahun ini.

Dalam kenyataan bersama semalam, Baidu dan Uber berkata, kerjasama jangka panjang itu akan menyaksikan ribuan kenderaan autonomi Apollo Go milik Baidu digunakan di platform Uber dalam beberapa pasaran global.

Menurut kenyataan itu lagi, pelancaran pertama teksi pandu sendiri dijangka bermula pada tahun ini, namun sehingga sekarang negara yang terlibat masih belum diumumkan secara terperinci.

Pengguna Uber di lokasi berkenaan berkemungkinan akan ditawarkan pilihan untuk menaiki kereta Apollo Go sepenuhnya tanpa pemandu sebaik sahaja mereka membuat tempahan perjalanan melalui aplikasi tersebut.

Syarikat teknologi dan pengeluar automotif China sebelum ini melabur berbilion dolar dalam pembangunan teknologi kenderaan pandu sendiri yang kini menjadi medan persaingan baharu dalam pasaran domestik negara itu yang semakin sengit.

Ketika ini, perkhidmatan teksi pandu sendiri telah pun digunakan secara terhad di beberapa bandar di China, termasuk di Wuhan yang mempunyai lebih 500 buah kenderaan sedemikian yang boleh ditempah di kawasan tertentu.

Pada Mac lalu, Baidu mengumumkan menandatangani perjanjian bagi menjalankan ujian perkhidmatan kenderaan pandu sendiri di Dubai, menjadikannya projek antarabangsa pertama bagi armada Apollo Go.

Sumber yang rapat dengan Baidu turut mengesahkan syarikat itu bercadang memulakan ujian teksi pandu sendiri di Eropah dan Turkiye menjelang akhir tahun ini.

Sementara itu, Uber yang berpusat di San Francisco turut merancang melancarkan perkhidmatan teksi pandu sendiri di London pada tahun hadapan selaras dengan pelaksanaan projek rintis perkhidmatan autonomi di England.

Dalam peringkat awal, perkhidmatan itu akan melibatkan seorang pemandu manusia di tempat duduk hadapan bagi tujuan kecemasan, sebelum beralih sepenuhnya kepada operasi tanpa pemandu apabila ujian selesai. -AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN