Asia jadi sasaran strategi tarif Trump

Asia jadi sasaran strategi tarif Trump

DONALD Trump menunjukkan carta mengenai tarif timbal balik dalam acara 'Make America Wealthy Again' di Rose Garden, Rumah Putih, di Washington, DC, pada 2 April lalu.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menyemarakkan semula ketegangan perdagangan global apabila menghantar surat kepada 14 negara kebanyakannya di Asia, berhubung tarif import lebih tinggi yang akan mula dikuatkuasakan mulai 1 Ogos.

Langkah itu dilihat sebagai usaha terbaharu beliau untuk memaksa rundingan semula perjanjian perdagangan yang didakwa berat sebelah, dengan Asia muncul sebagai sasaran utama dalam strategi tarif agresif pentadbiran Trump.

Ia menandakan kali kedua Trump menetapkan tarikh akhir, selepas menangguhkan pelaksanaan tarif selama 90 hari kepada hampir semua negara pada April lalu.

Negara seperti Jepun, Korea Selatan, Thailand, Indonesia dan Malaysia dijangka terkesan paling awal berikutan lebihan dagangan mereka yang tinggi dengan AS.

Langkah terbaharu itu dijangka meningkatkan ketegangan perdagangan serantau dan memberi tekanan kepada negara terbabit untuk mempertimbangkan semula hubungan ekonomi dengan AS.

KOREA SELATAN

Korea Selatan yang sedia terbeban dengan duti ke atas keluli dan automotif, kini berdepan kenaikan tarif sebanyak 25 peratus ke atas baki eksportnya ke AS.

Namun, Seoul tetap optimis dengan berhati-hati bahawa perjanjian boleh dicapai.

“Washington menyatakan persetujuan dan berharap kedua-dua pihak dapat mencapai persetujuan sebelum 1 Ogos melalui komunikasi rapat,” kata Penasihat Keselamatan Negara Korea Selatan, Wi Sung lac selepas bertemu Setiausaha Negara AS, Marco Rubio, kelmarin.

Korea Selatan, antara pengeluar kapal terbesar dunia, bersetuju untuk menyelaras rapat dengan Washington mengenai industri itu bagi mencapai hasil nyata serta saling menguntungkan.

JEPUN

Sebagai sekutu rapat AS dan pelabur asing terbesar di negara itu, Jepun kini berdepan tarif sebanyak 25 peratus ke atas industri automotif utamanya.

Negara itu turut dijangka dikenakan tarif ke atas barangan lain, meningkat daripada 24 peratus yang diumumkan pada April, namun masih rendah berbanding ancaman Trump minggu lalu iaitu 30 hingga 35 peratus.

Perdana Menteri, Shigeru Ishiba, menyatakan kekesalan terhadap kadar tarif yang dinyatakan dalam surat tersebut, menurut laporan media tempatan.

Beliau berkata, kegagalan mencapai perjanjian berpunca daripada pendirian tegas kerajaan Jepun yang enggan berkompromi dan berusaha melindungi kepentingan negara.

Sebelum ini, Trump mengkritik Jepun kerana tidak cukup membuka pasaran kepada beras dan kenderaan buatan AS.

Import beras kekal isu sensitif bagi Jepun, yang mahu menjaga kepentingan petani tempatan, terutama menjelang pilihan raya Parlimen pada 20 Julai.

SEKUTU CHINA

Trump mengumumkan tarif sebanyak 49 peratus ke atas Kemboja pada April lalu, namun dalam surat terbaharu kelmarin, kadar itu dikurangkan kepada 36 peratus bagi negara yang menempatkan banyak kilang milik syarikat China itu.

Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet memberi jaminan kepada Rumah Putih, Phnom Penh akan berunding dengan ‘niat baik’, termasuk memberikan pengurangan tarif ke atas 19 kategori produk dari AS.

Sementara itu, Myanmar dan Laos yang masing-masing dikenakan tarif sebanyak 40 peratus, sangat bergantung kepada pelaburan China dan rantaian bekalan mereka juga rapat dengan ekonomi terbesar Asia itu.

Washington beberapa kali menyuarakan kebimbangan produk buatan China mungkin disalurkan melalui negara Asia Tenggara lain untuk mengelak tarif AS, satu isu yang turut disebut dalam surat Trump.

THAILAND DAN MALAYSIA

Malaysia dan Thailand mula mengambil langkah rundingan dan berusaha mencapai perjanjian perdagangan yang seimbang, menyeluruh dan saling menguntungkan.

Thailand dijangka dikenakan tarif sebanyak 36 peratus, manakala Malaysia berdepan kadar 25 peratus.

Bangkok menawarkan lebih akses pasaran kepada produk pertanian dan perindustrian AS, meningkatkan pembelian tenaga serta menambah tempahan pesawat Boeing.

Menteri Kewangan Thailand, Pichai Chunhavajira berkata, negara itu menyasarkan pengurangan lebihan dagangan dengan AS sebanyak 70 peratus dalam tempoh lima tahun dan mencapai imbangan dagangan sepenuhnya untuk tujuh hingga lapan tahun.

BANGLADESH

Sebagai pengeluar tekstil kedua terbesar dunia, Bangladesh berkemungkinan dikenakan tarif 35 peratus ke atas produknya, namun berharap dapat memeterai perjanjian menjelang awal Julai.

Sektor tekstil dan pakaian menyumbang kira-kira 80 peratus eksport negara itu.

Antara syarikat AS yang mendapatkan bekalan dari Bangladesh termasuk Fruit of the Loom, Levi Strauss dan VF Corp, Vans, Timberland serta The North Face.

Bagi meredakan ketegangan perdagangan, Dhaka mencadangkan pembelian pesawat Boeing serta meningkatkan import gandum, kapas dan minyak dari AS.- AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN