AS tarik balik sekatan terhadap Myanmar selepas ketua junta puji Trump - Utusan Malaysia

AS tarik balik sekatan terhadap Myanmar selepas ketua junta puji Trump

Jeneral Min Aung Hlaing
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) semalam menarik balik sekatan terhadap beberapa individu dan syarikat yang mempunyai kaitan rapat dengan pemerintah junta Myanmar, hanya dua minggu selepas ketua junta, Jeneral Min Aung Hlaing, mengutus surat pujian kepada Presiden Donald Trump.

Surat itu dikatakan sebagai maklum balas terhadap amaran tarif yang dikenakan ke atas eksport Myanmar ke AS, dan turut merayu agar sekatan ekonomi dilonggarkan.

Menurut notis rasmi Jabatan Perbendaharaan AS, entiti yang dikeluarkan daripada senarai sekatan termasuk KT Services & Logistics bersama pengasasnya Jonathan Myo Kyaw Thaung; Myanmar Chemical and Machinery Group (MCM) dan pemiliknya Aung Hlaing Oo; Suntac Technologies serta pemiliknya Sit Taing Aung; dan seorang lagi individu Tin Latt Min.

KT Services & Logistics dan pengasasnya sebelum ini disekat pada Januari 2022 sempena ulang tahun pertama rampasan kuasa tentera Myanmar, manakala Aung Hlaing Oo dan Sit Taing Aung pula disenarai hitam pada tahun sama kerana penglibatan mereka dalam sektor pertahanan negara itu.

Tin Latt Min, yang dikenal pasti sebagai sekutu rapat pentadbiran tentera Myanmar, disekat pada tahun 2024 sempena ulang tahun ketiga kudeta.

Jabatan Perbendaharaan tidak memberikan sebarang penjelasan rasmi berhubung keputusan menarik balik sekatan ini, dan pihak Rumah Putih juga belum memberikan sebarang maklum balas.

Pada 11 Julai lalu, Min Aung Hlaing menghantar sepucuk surat kepada Trump, merayu agar tarif 40 peratus ke atas eksport Myanmar dikurangkan. Beliau turut menyatakan kesediaan untuk menghantar pasukan perunding ke Washington, jika perlu.

Dalam surat itu, Min Aung Hlaing memuji “kepimpinan kukuh” Trump dan menggambarkannya sebagai seorang patriot yang membawa negaranya ke arah kemakmuran. Media kerajaan Myanmar turut melaporkan bahawa jeneral itu mencadangkan kadar tarif dikurangkan kepada antara 10 hingga 20 peratus, manakala Myanmar sendiri bersedia memotong levi ke atas import dari AS kepada antara 0 hingga 10 peratus.

Beliau juga memohon agar AS mempertimbangkan semula pelaksanaan sekatan ekonomi kerana ia didakwa menjejaskan kesejahteraan dan kepentingan bersama kedua-dua negara.

Myanmar merupakan satu daripada pembekal utama mineral nadir bumi iaitu bahan kritikal dalam penghasilan teknologi pertahanan canggih dan produk pengguna.

Bekalan mineral ini menjadi fokus strategik pentadbiran Trump dalam persaingan geopolitik dengan China, yang menguasai 90 peratus pemprosesan nadir bumi dunia. Sebahagian besar lombong nadir bumi Myanmar terletak di wilayah yang dikawal oleh Tentera Kemerdekaan Kachin (KIA), kumpulan etnik yang menentang pemerintahan junta, dan hasilnya kebanyakannya diproses di China.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN