GAZA: Hari yang sepatutnya membawa sedikit kelegaan buat wanita Gaza berakhir dengan insiden duka apabila dua wanita Palestin maut ditembak ketika cuba mendapatkan bantuan makanan di tapak agihan Yayasan Kemanusiaan Gaza (GHF), kelmarin.
Walaupun agihan tersebut dikhaskan untuk wanita sahaja bagi mengurangkan risiko kekacauan, insiden keganasan tetap tercetus.
Pengagihan makanan itu diumumkan lebih awal di media sosial, disertakan dengan ilustrasi wanita Palestin tersenyum menerima kotak bantuan.
Hantaran GHF itu turut menegaskan hanya wanita dibenarkan hadir, manakala lelaki diminta mengelak daripada berada di lokasi semasa agihan.
“Esok semasa pengagihan kami di lokasi kejiranan Saudi, hanya wanita yang dialu-alukan untuk datang dan menerima kotak makanan,” menurut kenyataan tersebut.
Ibu tunggal kepada tujuh anak, Mary Sheikh al-Eid, antara ratusan wanita yang hadir pada hari pengagihan bantuan, ketika keluarganya bertahan hidup dengan hanya makan sup kacang dal selama tiga minggu.
“Anak-anak tidak benarkan Mary untuk pergi, tetapi dia beritahu akan tetap berusaha dapatkan bantuan di sana memandangkan ia dikhususkan untuk wanita,” kata adik Mary, Khawla.
Namun, harapan itu musnah apabila kekacauan berlaku sebaik mereka tiba di tapak bantuan di Rafah, selatan Gaza.
“Terlalu ramai wanita berkumpul dan keadaan kelihatan huru-hara, mereka tidak dapat menurunkan dan mengagihkan bantuan.
“Mereka mula menyembur gas pemedih mata ke arah wanita, kemudian melemparkan bom untuk memaksa orang ramai berundur,” kata Khawla.
Khawla berkata, dia dan Mary terpisah dalam kekecohan itu, sebelum diberitahu kakaknya dibawa ke hospital Palang Merah akibat ditembak.
Petugas perubatan Hospital Nasser di Khan Younis mengesahkan Mary meninggal dunia akibat tembakan di leher, termasuk seorang lagi wanita lain yang turut menjadi korban.
Agihan bantuan makanan oleh GHF terus dicemari insiden keganasan dan kekacauan hampir setiap hari sejak sistem itu diperkenalkan pada Mei lalu, dengan sokongan Israel dan Amerika Syarikat (AS).
Ribuan penduduk terpaksa berjalan jauh ke zon kawalan tentera Israel, memasuki kawasan berpagar yang dijaga rapi oleh kontraktor keselamatan swasta serta askar rejim.
Bayi maut dalam dakapan ibu
Sementara itu, seorang bayi perempuan Palestin berusia lima bulan, Zeinab Abu Halib, meninggal dunia dalam dakapan ibunya akibat kekurangan zat makanan yang kronik, sekali gus menjadikannya antara korban terbaharu dalam krisis kebuluran yang semakin memburuk di Semenanjung Gaza.
Zeinab menghembuskan nafas terakhir ketika ibunya, Israa Abu Halib, berusaha membawanya ke hospital di selatan Gaza.
“Zeinab sudah berulang-alik ke hospital sejak tiga bulan lalu,” kata Israa dalam nada sayu ketika ditemu bual CNN pada Sabtu.
“Saya terpaksa berjalan lebih 30 minit kerana tiada pengangkutan langsung. Jalan berlumpur dan berdebu sangat panjang, cuaca pula amat panas. Saya teruskan juga walaupun lapar dan tiada air untuk diminum,” katanya lagi.
Namun, ketika dalam perjalanan, Israa menyedari tubuh anak kecilnya tiba-tiba menjadi kaku.
“Tiba-tiba saya rasa dia berhenti bergerak dan bernafas. Tubuhnya menjadi berat dalam pelukan saya,” ujar beliau sebak.
“Saya tidak tahu apa lagi mahu dikatakan. Berapa ramai lagi bayi tidak berdosa seperti Zeinab perlu mati kebuluran sebelum dunia tersedar?” soal beliau penuh kecewa.
Sementara itu, menurut Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Gaza, Dr. Munir al-Boursh, Zeinab disahkan meninggal dunia akibat komplikasi kekurangan zat makanan yang serius.
“Dia dibiarkan merana sehingga tubuhnya tinggal kulit dan tulang. Lebih 260,000 kanak-kanak bawah lima tahun di Gaza kini mengalami kekurangan zat makanan,” katanya dalam satu kenyataan di platform X.
Kementerian Kesihatan Gaza turut mendedahkan sejak konflik meletus pada 2023, seramai 122 mangsa maut akibat kebuluran, termasuk 83 kanak-kanak dan sebahagian besar kematian itu berlaku selepas awal Mac, apabila Israel menyekat kemasukan bantuan ke Gaza.
Walaupun sekatan itu dikurangkan pada penghujung Mei, agensi bantuan kemanusiaan mengesahkan jumlah bantuan yang dibenarkan masuk masih terlalu kecil dan jauh daripada mencukupi, menyebabkan krisis kebuluran terus merebak.
Pertubuhan bukan kerajaan, Doctors Without Borders, pula memaklumkan suku daripada kanak-kanak berusia enam bulan hingga lima tahun, serta wanita hamil atau menyusukan anak yang diperiksa di fasiliti mereka minggu lalu mengalami kekurangan zat makanan.
Semalam, Israel mengumumkan menghentikan sementara pertempuran di beberapa kawasan Gaza dan akan membenarkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) serta agensi bantuan membuka laluan darat yang selamat bagi menangani krisis kebuluran yang semakin meruncing.
Penghentian pertempuran itu hanya terhad kepada kawasan-kawasan di mana tentera Israel tidak beroperasi, termasuk Al-Mawasi, Deir el-Balah dan Gaza City yang akan berlangsung setiap hari dari pukul 10.00 pagi hingga 8:00 malam (waktu tempatan).
Tentera Israel turut memaklumkan sudah mula menjatuhkan bantuan makanan dari udara ke wilayah tersebut, sambil menolak keras tuduhan pihaknya menggunakan kelaparan sebagai senjata terhadap orang awam Palestin.-AGENSI/AFP










