18 terkorban, sembilan hilang hujan lebat di Korea Selatan - Utusan Malaysia

18 terkorban, sembilan hilang hujan lebat di Korea Selatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEOUL: Sekurang-kurangnya 18 orang maut manakala sembilan lagi masih hilang selepas hujan lebat berterusan dan kejadian tanah runtuh melanda beberapa kawasan di Korea Selatan sejak minggu lalu, menurut laporan Agensi Berita Yonhap yang memetik kenyataan kerajaan pada Isnin.

Menurut Kementerian Dalam Negeri, angka korban setakat 9 malam Ahad melibatkan 10 kematian di Sancheong (selatan negara), dua di Gapyeong (utara), dua di Seosan (barat), dan selebihnya di beberapa kawasan lain.

Daripada sembilan yang masih hilang, empat orang dilaporkan hilang di Sancheong dan empat lagi di Gapyeong.

Sejak hujan lebat melanda negara itu pada Rabu lalu, lebih 14,000 penduduk dipindahkan ke pusat perlindungan di 15 bandar dan wilayah utama, menurut kementerian tersebut.

Kerosakan harta benda turut meningkat dengan ketara melibatkan 1,999 kes kerosakan melibatkan kemudahan awam seperti jalan raya, jambatan dan sistem perparitan dan 2,238 kes membabitkan kemudahan persendirian seperti kediaman dan premis perniagaan, setakat 6 petang Ahad.

Agensi Meteorologi Korea menjangkakan hujan akan berterusan hingga pagi Isnin di wilayah Jeolla Selatan, wilayah Gyeongsang Selatan, dan Pulau Jeju di selatan.

Manakala Jeolla Utara dan Gyeongsang Utara dijangka mula menerima hujan bermula 9 pagi, diikuti Seoul, Gangwon, dan Chungcheong pada sebelah petang.

Kerajaan telah menarik balik semua amaran hujan lebat dan menurunkan tahap amaran keseluruhan daripada “serius” kepada “waspada” pada Ahad, berikutan keadaan cuaca yang semakin stabil di beberapa kawasan.

Pihak berkuasa terus mengingatkan penduduk supaya berjaga-jaga, memandangkan risiko banjir kilat dan tanah runtuh masih berpotensi berlaku susulan tanah yang masih lembap dan tidak stabil.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN