WASHINGTON: Dua warganegara China didakwa oleh pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS) atas pertuduhan menyeludup sejenis kulat yang diklasifikasikan sebagai patogen biologi berbahaya.
Yunqing Jian, 33, dan Zunyong Liu, 34, masing-masing berdepan pertuduhan konspirasi, penyeludupan barang, kenyataan palsu, serta penipuan visa, menurut kenyataan Pejabat Peguam Negara AS bagi Daerah Timur Michigan, semalam.
Menurut kertas pertuduhan, Liu didakwa cuba menyeludup masuk kulat jenis Fusarium graminearum melalui Lapangan Terbang Detroit, dengan tujuan untuk menjalankan penyelidikan di makmal Universiti Michigan, tempat teman wanitanya, Jian, bekerja.
Kulat berkenaan mampu menjangkiti tanaman gandum, barli, jagung dan padi, sekali gus memusnahkan hasil tuaian serta berpotensi menyebabkan muntah dan kerosakan hati jika memasuki rantaian makanan manusia.
Dalam kenyataan rasmi, pejabat pendakwa menyifatkan kulat itu sebagai senjata ‘agro-pengganas’ berpotensi berdasarkan rujukan dalam literatur saintifik dan kulat tersebut turut dilaporkan menjadi punca kepada kerugian ekonomi global yang mencecah berbilion dolar setiap tahun.
Pihak pendakwa turut mendakwa Jian pernah menerima pembiayaan daripada kerajaan China untuk menjalankan penyelidikan mengenai patogen tersebut ketika berada di negara asalnya disamping dikatakan merupakan ahli Parti Komunis China.
Siasatan kes ini melibatkan kerjasama rapat antara Biro Siasatan Persekutuan (FBI) dan Jabatan Kastam serta Perlindungan Sempadan AS manakala Jian dijadualkan hadir ke mahkamah di Detroit bagi sebutan kes.
Pertuduhan itu dikemukakan ketika hubungan antara Washington dan Beijing terus tegang, khususnya selepas pentadbiran Presiden AS, Donald Trump berikrar akan menarik balik visa pelajar China secara agresif.
Ketegangan ini turut berlaku tidak lama selepas China mendakwa Amerika Syarikat telah ‘melanggar secara serius’ perjanjian perdagangan yang dicapai di Geneva bulan lalu, yang menyaksikan kedua-dua negara bersetuju menurunkan tarif ke atas barangan import masing-masing.
Awal minggu ini, seorang lagi pelajar China di Universiti Michigan turut didakwa atas kesalahan mengundi secara haram dalam pilihan raya Oktober 2024. -AGENSI










